KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap peningkatan bilangan kes positif COVID-19 di negeri ini. Sehingga ke hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan bilangan kes positif COVID-19 di Sabah masih
dalam lingkungan tiga (3) angka. Negeri Sabah telah mencatatkan
peningkatan kes positif COVID-19 sebanyak 1,728 kes dalam tempoh
sembilan (9) hari bermula dari 01 Oktober 2020 hingga 09 Oktober 2020.
Hampir kesemua daerah telah dilaporkan mempunyai kes positif COVID-19
2. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengisytiharkan daerah Sandakan,
Tuaran dan Papar sebagai kawasan zon merah dan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah tersebut mulai 09 Oktober 2020 sehingga 22 Oktober 2020. Ini menjadikan sepuluh (10) daerah di Sabah merupakan kawasan zon merah. Daerah-daerah berkenaan
ialah daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Kota Kinabalu,
Penampang, Putatan, Sandakan, Tuaran dan Papar.
3. Untuk membendung penularan jangkitan COVID-19, Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) bersetuju supaya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilanjutkan di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan di daerah Tawau sehingga 25 Oktober 2020. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga dilaksanakan di beberapa kampung di Semporna iaitu Kg. Pinggir Bakau, Kg. Simunul, Kg. Bangau-Bangau, Kg. Panji, Kg. Air
dan Kg. Selamat; dan, Kg. Pangkalan, Kg. Bagiang dan Kg. Kunak 3 di daerah Kunak.
4. Kerajaan Negeri sedar bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam (6) daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk
dikawasan terlibat. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan bantuan makanan (food basket) dengan peruntukan RM 2 juta untuk setiap daerah di kawasan zon merah melalui PKOB daerah. Agihan bantuan makanan akan dibantu dengan Kerjasama PDRM, RELA, Jabatan Kesihatan
Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah.

5. Kerajaan Negeri juga bersetuju supaya semua operasi/aktiviti-aktiviti barter trade di Sabah ditangguh mulai 12 Oktober 2020 (Isnin) sebagai langkah
membendung penularan COVID-19.
6. Semua rakyat Negeri Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan
prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan
dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab.
7. Nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:
• Elakkan 3S (3C) iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
• Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran (warn) dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sekian.
YAB KETUA MENTERI SABAH
09 Oktober 2020

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor