KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 320 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29,897 kes. Tiada kes kematian dilaporkan.

Pada hari ini, seramai 405 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 27,046 orang. Sejumlah 1,999 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 631 orang di hospital dan 1,368 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 66 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Tiada kluster baharu direkodkan pada hari ini.

Daripada 320 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 187 kes (58.44%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 13 Daerah. Manakala 36 kes (11.25%) daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 41 kes (12.81%), saringan komuniti 30 kes (9.38%) dan 26 kes (8.13%) adalah dari lain-lain kategori. Kota Kinabalu mencatatkan kes kontak rapat tertinggi (50 kes), Sandakan (42 kes) dan Penampang (26 kes).

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,026 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,696 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,722 unit. Terdapat penambahan 19 katil di Hospital Semporna. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 29.74%.

STANDARD OPERATING PROCEDURE (SOP) KEMASUKAN INDIVIDU KE NEGERI SABAH

Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju membenarkan kemasukan individu ke Negeri ini dengan beberapa perincian Standard Operating Procedure (SOP) baharu seperti berikut:
i. Kemasukan individu masuk ke negeri Sabah DIBENARKAN untuk tujuan sosial (pas lawatan sosial) bagi:
a. Kemasukan domestik (pemegang MyKad, MyPR, MyKAS);
b. Pemegang pas-pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) yang
sah tempoh; dan
c. Suami/isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan.

ii. Kemasukan bagi orang yang bukan warganegara yang tidak memiliki pas- pas imigresen jangka panjang WAJIB mendapatkan Kelulusan Khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.
iii. Semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani swab ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 tiga (3) hari sebelum perjalanan. Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah.
iv. Kebenaran pihak PDRM bagi pergerakan keluar dari Sabah TIDAK DIPERLUKAN.

PELANJUTAN WAKTU OPERASI RESTORAN / KEDAI MAKAN

Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi restoran / kedai makan sehingga jam 12.00 malam berkuat kuasa 5 Disember 2020. Pelanjutan ini masih tertakluk kepada SOP PKPB sedia ada yang telah ditetapkan.

PENAMATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI K AVENUE, PENAMPANG

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di K Avenue, Penampang bermula 24 November 2020 dan dijadual tamat pada 5 Disember 2020.

Berdasarkan penilaian risiko dan saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati kes positif COVID-19 di kawasan ini telah terkawal.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah COVID-19 pada 3 Disember 2020 dengan nasihat Pengarah Kesihatan Negeri Sabah telah bersetuju supaya PKPD di lokaliti ini ditamatkan mengikut jadual.

B. BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 267,995 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

C. LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 67 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 57,019 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 103 buah kenderaan diarah berpatah balik. Tiada tangkapan namun 10 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 74 hebahan melalui kereta peronda.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 31 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 24 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi
di lima (5) premis di tiga (3) buah daerah iaitu Sandakan, Semporna dan Tawau. Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 107 lokasi di 15 daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Dusun, Bahasa Bajau dan Bahasa Iranun.

BANTUAN LOGISTIK

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 buah kenderaan
yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 35 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. Baki 160 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19. Bersama-sama kita putuskan rantaian COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat.-

#kita jagakita #stayhome #staysafe #workfromhome #normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
4 Disember 2020