KOTA KINABALU: Sabah secara prinsipnya bersetuju membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Singapura bagi meningkatkan potensi ekonomi dalam kedua-dua sektor berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat secara maya Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di sini pagi ini.

Menerusi pertemuan melalui aplikasi dalam talian yang julung kali diadakan itu, Hajiji berkata Sabah dan Singapura mempunyai sejarah hubungan perdagangan yang sudah lama terjalin dan ini (pembukaan pejabat) akan menambah lebih baik lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura.

“Saya juga mahu mengajak pelabur dari Singapura untuk melihat peluang yang ada di bawah pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya, yang memfokuskan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian,” katanya.

Kedua-duanya juga turut membincangkan pelbagai isu, termasuklah berkaitan pencegahan pandemik COVID-19 dan kaedah diambil untuk mengurangkan jumlah kes berkenaan.

Singapura adalah antara 10 rakan dagang terulung di Sabah dengan nilai dagangan adalah sebanyak RM133 juta setakat Januari tahun ini. Antara 10 produk yang dieksport ke negara itu ialah minyak sawit, makanan laut, petroleum mentah dan produk kayu.

Sabah merekodkan lebih RM7 billon nilai perdagangan dengan Singapura untuk tempoh dua tahun (2019-2020).-pr/BNN