KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengalu-alukan langkah dan usaha terkini Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam merangka dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang (Pakatan Harapan) untuk mencapai beberapa bidang yang telah digariskan sebelum ini.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki berkata, PBS sebagai sebuah parti berbilang kaum, menyambut baik apa sahaja usaha yang mendatangkan kebaikan dan bersifat adil kepada semua.
“Rakyat berhak menerima layanan sama rata dan menikmati faedah sebagai warganegara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdapat enam perkara utama yang terkandung  dalam persetujuan  MoU antara pihak Kerajaan dan pembangkang iaitu Pemerkasaan Pelan Covid -19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia (MA63); dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
“PBS yakin langkah ini adalah permulaan yang baik untuk melihat perubahan yang lebih besar.
“Sebagai parti tempatan tertua di negeri Sabah, PBS  ingin melihat beberapa usaha sebelum ini menjadi kenyataan, khususnya dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat serta tuntutan dan hak perlembagaan negeri Sabah dalam MA63 dipenuhi.
“PBS bersetuju bahawa Malaysia akan benar-benar menjadi makmur dan sejahtera apabila kita menunai atau melaksanakan perkara dasar yang telah digariskan dalam perlembagaan,” kata Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong.
“Tahniah kepada pihak Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri kerana berani melangkah ke depan demi mengembalikan kedudukan ekonomi dan kebajikan rakyat ke landasan yang tepat.
“PBS bersedia untuk bekerjasama dalam kapasiti yang ada,” tambahnya. -pr/BNN