KUALA LUMPUR – Persidangan Minda Untuk Malaysia: Merapatkan Jurang Kemahiran(Minds For Malaysia (M4M): Bridging The Skills Gap) telah pun berlangsung Sabtu dan merupakan persidangan maya terbesar dalam bidang pendidik kebolehpasaran belia yang pernah diadakan di Malaysia dengan jumlah penyertaan melebihi 12,000.
M4M ini telah dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad. Manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumi pula berucap pada sesi penutup persidangan itu.
M4M dengan jayanya dianjurkan oleh Yayasan MyProdigy Malaysia dengan kerjasama Thriving Talents dan NGO Kita Anak Malaysia. Tujuan M4M adalah untuk membina
kesedaran dan mendidik pelajar dan belia mengenai keperluan menguasai kemahiran abad ke-21 (21st century skills) yang amat diperlukan pada masa kini.
Menurut Pengerusi Minds for Malaysia (M4M), Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, penguasaan kemahiran ini amat penting untuk kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan dan membina perniagaan melalui start up demi masa depan yang lebih baik.
Menurut Jaziri Alkaf, persidangan yang berlangsung secara dalam talian ini turut
melibatkan ahli panel terhormat tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada pakar
industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang berkongsi pengalaman
serta nasihat mengenai kemahiran insaniah yang sangat diperlukan bagi menjamin
peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian.
Para panelis antarabangsa jemputan terdiri daripada pakar-pakar tempatan dan
antarabangsa antaranya dari Jepun, New Zealand, Indonesia, Amerika Syarikat dan
India.
Menurut Jaziri Alkaf, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan
mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan inovasi digital terutama dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia.
Dalam pada itu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan
ucaptama pada persidangan itu selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji
Hajiji Noor, sebagai antara usaha untuk mendidik golongan belia terutamanya mengenai kepentingan menguasai inovasi digital dalam bidang keusahawanan sebagai usaha memperkasakan golongan tersebut.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz juga turut berkolaborasi dalam
persidangan itu apabila bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dalam
satu wawancara khas yang telah disiarkan secara maya pada hari tersebut.
Menurut Jaziri Alkaf lagi, usaha M4M berkolaborasi dengan pelbagai pihak sama ada
kerajaan dan swasta dalam program ini adalah seiring dengan usaha untuk membantu
mendidik kepentingan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan
belia di seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang selari dengan
konsep Keluarga Malaysia.
Oleh itu adalah diharapkan melalui penganjuran program ini, ia dapat memberi manfaat
kepada semua pihak terutama golongan pelajar, graduan dan belia terutamanya dalam
berhadapan cabaran mengenai keperluan menguasai kemahiran baharu serta kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan
pengajian kelak.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kolaborasi: Kementerian Pengajian
Tinggi, KEmenterian Belia Dan Sukan, Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri
Sabah, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS). Terima kasih juga kepada
semua institusi pengajian swasta dan awam yang memberi kerjasama dan menjayakan
persidangan maya M4M.-pr/BNN






