KOTA KINABALU: Seramai 8,042 individu di negara ini disahkan membawa genetik talasemia sehingga 31 Disember tahun 2018 yang dianggap sebagai membimbangkan.
Daripada jumlah itu, seramai 5,448 pesakit diklasifikasikan sebagai kritikal dan memerlukan rawatan berkala, antaranya menerusi pemindahan darah serta memakan ubat khas yang tinggi kosnya.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, dalam konteks Malaysia, seorang daripada 20 warganegara ini adalah pembawa genetik talasemia.
“Pada peringkat global pula hampir 44 daripada 10,000 kelahiran ada genetik berkenaan. Ia adalah satu tahap serius kerana kita perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk merawatnya iaitu purata RM3 juta bagi setiap pesakit talasemia. Pada tahun 2019 sahaja, kita peruntukkan RM25 juta,” katanya semasa merasmikan Kempen Derma Darah Untuk Kanak-Kanak Penghidap Talasemia, sempena Kempen Kesedaran Talasemia, di Buhavan Square sini kelmarin.
Julita berkata, Kementerian Kesihatan secara agresif membantu pesakit talasemia dengan memperkenalkan pelbagai teknologi rawatan perubatan dan pencegahan dengan melakukan saringan di usia muda.
“Langkah agresif itu menunjukkan hasil apabila jangka hayat pembawa genetik talasemia dipanjangkan… sebelum ini jangka hayat seorang kanak-kanak yang diagnosis talasemia hanya mencapai belasan tahun.
“Menerusi teknologi rawatan dan perubatan, ada pembawa genetik talasemia mampu hidup sehingga berusia 90 tahun,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan kini memfokuskan kepada usaha pencegahan dengan melakukan saringan terhadap pelajar tingkatan empat di seluruh negara sejak 2016 bagi mengesan genetik talasemia.
“Menerusi saringan yang dilakukan pada tahun 2018, seramai 31,340 daripada 286,241 pelajar yang diperiksa disahkan membawa genetik talasemia,” jelasnya.
Katanya, kerjasama dan penglibatan kementerian-kementerian, jabatan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, keluarga dan lain-lain amat penting untuk memastikan usaha ini berjaya, sambil menambah kerjasama dalam melengkapkan dan menyempurnakan keseluruhan fungsi amat penting.
“Jaringan kerjasama yang mantap dan berterusan dapat membantu mereka yang menghidap penyakit ini berfungsi sebagai ahli masyarakat yang produktif dan berpeluang mendapat pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap kempen kesedaran seumpama ini mampu menjadi platform utama menghubungkan jalinan kerjasama yang erat antara komuniti setempat dalam usaha menangani permasalahan kekurangan bekalan darah mahupun kesedaran awam berkenaan penyakit talasemia di negeri kita yang tercinta ini,” ujarnya.
Katanya, semenjak negara diserang wabak Covid-19, bekalan darah di Unit Tabung Darah sering berkurangan dan tidak mencukupi untuk pesakit-pesakit talasemia menjalankan rawatan tranfusi darah.
Jelasnya, salah satu sebab kekurangan bekalan darah adalah disebabkan para penderma mempunyai perasaan takut untuk menderma darah mereka ke Unit Tabung Darah akibat masalah wabak Covid-19 yang sedang dihadapi pada ketika ini di mana mereka risau diri dijangkiti Covid-19.
“Maka dengan itu, aktiviti ini perlu digerakkan kepada komuniti agar kita dapat mengambil inisiatif dalam menangani masalah kekurangan bekalan darah di tempat kita masing-masing,” katanya.
Kempen Derma Darah untuk Kanak-Kanak Penghidap Talasemia ini merupakan aktiviti dwi-tahunan Pertubuhan Perpaduan Penampang dengan Kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan objektif menyedia dan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pemimpin dan ahli komuniti dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program kesedaran awam khususnya berkaitan dengan penyakit talasemia.
“Saya berharap semua peserta telah mula memikirkan sesuatu dalam usaha menangani permasalahan ini dan bagaimana membantu mereka yang terlibat dengan permasalahan ini apabila balik di tempat masing-masing nanti.
“Selain itu, saya juga berharap kita semua telah mula meningkatkan kesedaran, mengambil berat dan mahu bertindak sama dalam mengatasi permasalahan ini di komuniti kediaman kita,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak kegunaan darah antaranya menyelamatkan nyawa semasa pembedahan, mangsa kemalangan, merawat pesakit leukemia, barah, pesakit jantung, penyakit hati, hemophilia dan lain-lain.
“Dengan menderma darah, anda mungkin mampu menyelamatkan nyawa seseorang kerana hospital sentiasa kekurangan bekalan darah kerana hospital tidak pernah bercuti. Begitu juga dengan keperluan darah di hospital, sentiasa diperlukan selagi ada pesakit yang memerlukan.
“Oleh itu, amat penting buat kita semua, sekiranya layak dan dibenarkan untuk menderma darah, patut menderma darah setiap tiga bulan secara berkala.
“Setiap hari terdapat ribuan orang yang memerlukan darah dan sebab itu kita digalakkan untuk menderma darah yang boleh menyelamatkan nyawa banyak orang. Ia bukan sahaja perbuatan yang mulia, tetapi perlu kita ketahui bahawa terdapat pelbagai manfaat menderma darah untuk kesihatan penderma darah itu sendiri,” katanya.
Beliau berharap semoga program seumpama ini diteruskan kerana ianya mampu membawa manfaat yang cukup besar untuk Sabah.
Turut hadir antaranya ialah Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong; Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah(PBS) N.26 Moyog, John Chryso Masabal; Presiden Pertubuhan Perpaduan Penampang merangkap Penyelaras Kempen Derma Darah Untuk Kanak-Kanak Penghidap Talasemia, Rudy Jeckrey Jikinon; dan Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Terawi Penampang, Paul Mitol.-pr/BNN