KOTA KINABALU: Kira-kira 17.4 peratus pesakit yang dikenalpasti menghidap kanser mulut di Malaysia adalah dari Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, angka itu diperolehi hasil daripada saringan kanser mulut pada tahun 2020 menerusi iProgram Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata, walaupun peratusan itu dilihat kecil, namun ia tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat.

“Daripada 42,771 pesakit yang disaring pada tahun 2020 di Sabah, seramai 5,420 orang mempunyai tabiat berisiko tinggi kanser mulut, iaitu pengambilan tembakau, sirih dan jugapengambilan alkohol berlebihan.

“Selain itu, hanya lebih kurang 50 peratus rakyat Malaysia menyedari bahawa pengambilan alkohol dan pengunyahan sirih dapat meningkatkan risiko mereka untuk
mendapat kanser mulut. Justeru amat penting untuk membuat pemeriksaan awal di klinik pergigian jika didapati ada tanda atau gejala”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021
Peringkat Negeri Sabah bertemakan #JomCheckMulut secara maya di sini, hari ini.

Minggu Kesedaran Kanser Mulut tahun ini diadakan selama seminggu mulai 7 hingga
13 November di seluruh negara.

Hajiji berkata, kajian yang dilakukan dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati bahawa
tabiat mengunyah sirih dapat meningkatkan risiko kanser mulut sebanyak enam kali ganda berbanding mereka yang tidak mengamalkan sebarang tabiat, manakala pengamalan ketiga-tiga tabiat ini sekali gus akan meningkatkan risiko mendapat kanser mulut sebanyak 22 kali ganda.
“Malangnya, kesedaran terhadap tabiat-tabiat berisiko ini adalah amat rendah”,tambah nya.

Katanya, di Malaysia, didapati kebanyakan kes kanser mulut dikesan di peringkat yang
lewat, dengan lebih daripada 60 peratus dikesan pada advanced stages atau peringkat
lanjut, stage III (tiga) dan IV (empat).

Menurutnya, antara faktor penyumbang utama untuk pengesanan lewat adalah
kurangnya kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan dan pengesanan awal dalam
kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kanser mulut memberi impak yang amat teruk kepada pesakit,
namun hakikatnya kanser mulut boleh dicegah.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar lebih banyak kempen diadakan bagi
meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Saya juga berharap aktiviti turun padang untuk membuat saringan awal pengesanan
kanser mulut dan kempen kesedaran ini akan diperluaskan hingga ke pedalaman negeri
ini”,tambahnya.

Menyentuh Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021, Hajiji berkata kempen itu bukan sahaja dilaksanakan di semua klinik pergigian kerajaan di seluruh negeri, malah turut
membabitkan penyertaan klinik pergigian swasta dan universiti.

“Kerajaan negeri amat menghargai usaha dibuat Kementerian Kesihatan untuk
meningkatkan kesedaran kanser mulut dalam kalangan rakyat.

“Marilah kita bersama-sama mengambil cakna mengenai penyakit kanser mulut ini
dengan mendapatkan saringan awal serta mengelakkan faktor risiko yang menyumbang
kepada kejadian penyakit ini.

“Usaha dan inisiatif untuk membantu serta menyokong pesakit dalam perjalanan untuk
melawan kanser mulut juga harus dipertingkatkan agar mereka dan keluarga dapat
menikmati kehidupan yang lebih sejahtera selepas mendapat diagnosa kanser”,
tambahnya.-pr/BNN