BEAUFORT: Dua pencalonan telah diterima untuk jawatan Presiden dalam Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) bagi sesi 2022-2024.
Mereka ialah Haji Ruslan Muharam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Datuk Isnin Hj Aliasnih, ADUN Klias.
Manakala terdapat empat pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden, 16 pencalonan untuk Naib-Naib Presiden dan untuk Ahli Majlis Tertinggi, 93 pencalonan.
Pemilihan untuk semua jawatan tersebut adalah berdasarkan perlembagaan PBBS yang diadakan tiga tahun sekali, yang mana tempoh sesi sebelum ini sudah pun berakhir.
Keputusan rasmi untuk pencalonan dikeluarkan oleh Pengerusi pemilihan AMT PBBS sesi 2022-2024, Dr Hajah Siti Aidah Hj. Lukin di Ibu Pejabat PBBS, Bangunan Kebudayaan dan Kesenian Bisaya Beaufort pada pukul 5 petang, kelmarin.
Kempen bermula esok sehingga 28 Disember ini.
Ruslan merangkap Pemangku Presiden PBBS setelah pemergian Allahyarham Datuk Seri Haji Lajim Haji Ukin, menyeru semua calon-calon yang bertanding agar berkempen secara harmoni demi perpaduan yang telah lama diamalkan dalam ‘keluarga warga Bisaya’. -pr/BNN