KOTA KINABALU: Seramai 63 orang warga pendidik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pensiangan telah diraikan dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PPD Pensiangan Tahun 2020. Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen P.182 Pensiangan.
Majlis ini bertujuan meraikan pencapaian cemerlang warga pendidik PPD Pensiangan
dalam memberikan perkhidmatan terbaik walaupun ketika negara berhadapan dengan
pandemik COVID-19 bagi memastikan aktiviti pembelajaran tetap dilaksanakan secara
Home-based Learning supaya keterlibatan murid dalam pembelajaran kendiri dapat
dilaksanakan dari rumah (PdPR).
Kerjasama dan komitmen warga PPD Pensiangan telah melakarkan pencapaian yang
membanggakan di peringkat Negeri antaranya Pingat Emas Program Pendidikan
Insklusif ( PPI ) Model Holistik (85.40%), Pencapaian Pdpr 70% Fasa 2 Melepasi
Sasaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta Anugerah Pejabat Pendidikan Daerah
Lulus 100% STPM Tahun 2020.
YB Datuk Arthur Joseph Kurup dalam ucapannya menyatakan pegangan teguh kepada
asas pendidikan sebagai pemacu yang penting dalam membangun dan meningkatkan
sosioekonomi sesebuah kawasan. Pendidikan akan memboleh anak-anak Keluarga
Malaysia Pensiangan mengubah masa hadapan ke arah yang lebih baik bagi diri dan
keluarga mereka kelak.
Sebagai Ahli Parlimen P.182 Pensiangan, infrastruktur-infrastruktur asas untuk pendidikan
yang inklusif dan mampan sentiasa diberi keutamaan. Antaranya membina 46 menara
telekomunikasi yang baru serta menaik taraf 44 menara yang sedia ada termasuk di
kawasan kampung yang jauh, menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan seterusnya
ke Pensiangan dan menaik taraf beberapa buah sekolah daif di kawasan Parlimen
Pensiangan antaranya ialah SK Pekan Nabawan, Sekolah K9 Pekan Pensiangan, SK
Sepulot, SK Ponontomon serta banyak lagi.
Beliau turut menyatakan impian beliau untuk melihat anak-anak muda, barisan pelapis
pemimpin negara dari kalangan anak pendalaman mempunyai akses kepada pendidikan
yang inklusif dan mampan bagi mewujudkan peluang untuk mereka mencipta masa depan
yang cerah dan mengubah masa depan mereka dan keluarga.
Diakhir ucapannya, beliau menyeru agar warga PPD Pensiangan berpegang teguh kepada
moto ‘Pensiangan Sumingkot’, berganding bahu serta mengeratkan kerjasama bagi
memperkasakan pendidikan anak-anak di kawasan Pedalaman Sabah dan seterusnya
meningkatkan kedudukan prestasi PPD Pensiangan daripada tangga 16 ke 10 tangga
teratas di peringkat Negeri.-pr/BNN