KOTA KINABALU: Membudayakan perpaduan, meraikan kepelbagaian merupakan elemen tepat dalam naratif penyatuan pelbagai bangsa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, semangat perpaduan sedia ada bukan sahaja perlu dipupuk secara berterusan bahkan, ditingkat dari semasa ke semasa bagi menyemai semangat cintakan negeri dan negara.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menekankan elemen perpaduan dalam memastikan perpaduan dan kesatuan di kalangan kepelbagaian etnik di negeri ini, terus terbela.

“Kita perlu terus kekalkan semangat muhibbah dan permuafakatan ini kerana ia
merupakan tunjang kekuatan kita untuk terus kekal hidup aman, damai dan makmur,”katanya.

Hajiji berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian Majlis Sambutan
Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Sabah di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Bertemakan Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian, Hajiji berkata, ia amat bertepatan dalam menterjemahkan keunikan di Sabah yang terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan kaum.

“Sebab itulah dalam konteks perayaan, kita dapat lihat semua bangsa bersama- sama memeriahkan sambutan sesuatu perayaan termasuk Hari Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Perayaan Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan lain-lain.

“Dalam konteks Keluarga Malaysia, budaya perkongsian dan muafakat perlu diamalkan, dan bukan sekadar dalam konteks perkongsian perayaan, malah setiap amalan dalam kehidupan seharian kita, agar keamanan dan kestabilan negara terus kukuh dan harmoni selamanya, “katanya.

 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Sabah 2021, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Persatuan-Persatuan Masyarakat India Sabah dan Labuan kerana Berjaya menganjurkan majlis itu.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri meminta semua pihak untuk mengadaptasikan budaya norma baharu pada setiap penganjuran majlis supaya pandemik Covid-19 terus dilandaikan dari semasa ke semasa.-pr/BNN