KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) dan Pejabat ADUN N70 Kukusan terus komited dalam menyantuni rakyat di Kukusan dan kawasan sekitar daerah Tawau.
Timbalan Presiden HARAPAN RAKYAT merangkap ADUN N70 Kukusan YB Rina Hj Jainal berkata, sepanjang 2 minggu bersama HARAPAN RAKYAT, pihaknya telah menyantuni ramai pihak termasuk KRT, persatuan-persatuan, warga emas, orang uzur, asnaf dan ibu tunggal.
Tambah Rina, antara golongan yang sering menjadi perhatian pihaknya adalah pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider.
“Mereka inilah antara golongan yang keluar bekerja pada awal pagi dan pulang ke rumah lewat makan demi mencari rezeki untuk keluarga.
“Ada pelbagai masalah yang mereka hadapi termasuk terjejas pendapatan, lesen dan insuran kemalangan,” katanya.
Sehubungan itu, Pejabat ADUN N70 Kukusan dan Parti HARAPAN RAKYAT meneruskan usaha menyantuni golongan ini menerusi agihan bakul makanan.
Seramai 48 daripadanya telah diberikan kepada pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider pada Khamis lalu, manakala 15 lagi akan diedarkan secara berperingkat bermula hari ini.
Rina Hj Jainal mengharapkan dengan fasa endemik COVID-19 ini, ekonomi golongan tersebut semakin baik khususnya membabitkan pemandu teksi.
“Pertemuan ini juga membolehkan saya mendengar sendiri masalah mereka selain bertukar-tukar buah fikiran ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat.
“InsyaAllah, kami akan menjejaki lebih ramai pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider yang memerlukan bantuan untuk disantuni,” katanya.-pr/BNN