KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Haji Nasir menyokong langkah yang diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengemukakan ke permohonan penambahan pembinaan menara baharu yang tidak termasuk di dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Langkah ini akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini dalam menerima kemudahan akses stabil dengan kelajuan jalur lebar yang lebih baik,” katanya dalam pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, khamis.
Beliau difahamkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan dimana  kementeriannya telah kemukakan permohonan penambahan pembinaan Menara baharu yang tidak termasuk dalam JENDELA Fasa 1.
“Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (K-KOMM) telah bersetuju untuk membawa semula cadangan pemasangan 300 VSAT di Sabah pada tahun 2022 untuk kelulusan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).
“Kementerian itu turut mencadangkan subsidi penggunaan data percuma bagi tempoh satu (1) hingga enam (6) bulan di kawasan yang terlibat,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berkata segala inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kerajaan Negeri untuk memudahcara proses kelulusan bagi projek projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan.
“Dengan kerjasama yang erat, masalah ini dapat diatasi secara tuntas dan meletakkan kembali pembangunan jaringan komunikasi di landasan yang betul,” jelasnya.
Suhaimi diberitahu pelaksanaan JENDELA Fasa 1 telah pun bermula sejak September 2020 sehingga penghujung tahun 2022 memberi fokus kepada perluasan liputan gentian optik dan pembangunan infrastruktur digital termasuk pembinaan tapak 4G baharu dan menaik taraf menara telekomunikasi sedia ada kepada teknologi 4G bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan 4G di seluruh negara sekaligus memperbaiki mutu internet di luar bandar, penyediaan capaian gentian optik ke premis dan penyediaan jalur lebar satelit.
“Sehingga suku pertama 2022, sebanyak 125 buah daripada 538 buah menara baharu yang dirancang telah siap dibina. Sebanyak 3,395 buah menara telah dinaiktaraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,656 buah menara yang dirancang.
“Manakala bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur tetap, sebanyak 122,707 premis telah dipasang daripada 311,192 premis yang dirancang. Bagi projek jalur lebar satelit, sebanyak 138 buah telah dirancang untuk dipasang di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya.
Daripada jumlah ini, beliau berkata sebanyak 104 buah telah pun siap dipasang dan kesemua projek ini dijangka akan terus meningkat sehingga suku kedua tahun 2023.
“Sebagai usaha melengkapkan program JENDELA, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah telah memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 24 lokasi,” katanya.-pr/BNN