KOTA KINABALU: Usaha berterusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mencapai persetujuan bersama kerajaan persekutuan menerusi peningkatan geran khas kepada negeri ini harus diberikan pujian.
Menurut Bendahari EXCO Wiramuda STAR Neilson Martin Indang, usaha berkenaan sekaligus menjadi penanda ukur kepada perjuangan ikhlas kerajaan negeri untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil yang termaktub dalam perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan negeri Sabah sentiasa memperjuangkan hak 40 peratus hasil untuk dikembalikan kepada kita, sejak tahun 1963, kita hanya menerima kira-kira RM26 juta setahun daripada Persekutuan.
“Akan tetapi, di bawah tampuk pemerintahan GRS, kita telah mentadbir urus dan peningkatan kepada lima kali ganda iaitu sebanyak RM125.6 juta setahun.
“Perkara ini tidak akan terhasil sekiranya tiada perjuangan jitu daripada pihak kita dalam memastikan kebajikan rakyat jelata terus terbela dan dipertingkatkan, “katanya.
Neilson dalam masa yang sama turut mendedahkan, meskipun persetujuan terbabit sudah dicapai, namun ia bukanlah bermakna perjuangan untuk menuntut hak 40 peratus terhenti, bahkan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Tuntutan berkenaan adalah mengikut Artikel 112C dan Perkara Lima dalam Jadual Kesepuluh di Perlembagaan yang dipantau secara mandatori lima tahun mengikut Artikel 112D.
“Sememangnya kejayaan daripada RM26 juta ke RM125.6 juta itu merupakan perkara amat signifikan namun saya pastikan, kita tidak akan terhenti setakat ini sahaja untuk memperjuangkan hak kita dalam penubuhan Malaysia,” tambah beliau.
Untuk rekod, pada April lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ditadbir GRS telah mencapai persetujuan bagi peningkatan jumlah hasil tersebut yang perlu dipulangkan kepada Sabah. Jumlah terbabit dijangka akan meningkat setiap tahun bermula tahun 2023 hingga 2026.
Kerajaan BN terdahulu mengekalkan jumlah hasil RM26.7 juta dari tahun 1974 hingga 2018 dan diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) hingga 2019. Sejumlah RM53.4 juta kemudiannya diberikan pada tahun 2020.
Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, rundingan tuntuan 40 peratus itu masih diteruskan dan dijangka membuahkan hasil positif pada tempoh terdekat.
Neilson pada masa yang sama turut menjelaskan persetujuan terdahulu dilakukan oleh bekas kerajaan pentadbir, Warisan dan PH di peringkat pusat berhubung tuntutan 40 peratus tidak mencapai kata putus sebenar memandangkan ia tidak mempunyai sebarang semakan mengikut mandat yang diperuntukkan Artikel 112D selepas tahun 1969.
“Kalau dapat dilihat, dengan angka sebegini, kita tentu sekali boleh melihat kejayaan besar berbanding kerajaan sebelumnya meskipun RM125.6 juta itu hanya jumlah kecil daripada apa yang sepatutnya diperolehi oleh Sabah.
“Kerajaan GRS akan memastikan pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak 40 peratus itu kepada negeri kita, negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN