KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KBS)
akan melaksanakan Program Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Untuk Atlet Sabah mulai tahun hadapan (2023).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mengumumkan berita baik
itu berkata, inisiatif itu khusus untuk atlet yang berkecimpung serius dalam arena sukan.
Katanya, bermula tahun 2023 semua atlet yang mewakili Sabah ke SUKMA dan Para
SUKMA akan menerima pencaruman sebanyak RM50 sebulan, yang akan dibiayai oleh
Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya berharap, caruman ini akan menjadi titik permulaan untuk atlet-atlet negeri ini
berlatih lebih serius, menjadikan sukan sebagai kerjaya dan pembina masa hadapan”.

“Program ini juga akan memastikan kesinambungan caruman apabila atlet kita beralih ke
alam bekerja kelak. Syabas kepada KBS di atas keprihatinan dan usaha berterusan
memperjuangkan kebajikan atlet di negeri ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Sabah di
Temasya Sukan Komanwel XXII-Birmingham 2022, Para Asean XI-Solo 2022, Sukan
Malaysia (SUKMA) XX-MSN 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC),
malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron
Alfred Angin.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan peruntukkan yang besar dan
konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan, disamping
menyediakan prasarana serta teknologi sukan yang moden bagi memenuhi keperluan
atlet untuk berlatih dengan lebih efisien.

Katanya, menerusi Dasar Sukan Negeri Sabah kerajaan berusaha ke arah pembentukan
budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri ini dengan memberikan
peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat yang menjurus kepada mencapai
kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan dunia.Menurutnya, selain penyediaan kemudahan sukan yang lebih selesa di semua kompleks sukan di seluruh negeri, bangunan Arena Belia juga wujud memenuhi keperluan masyarakat setempat, yang menjadi nadi penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti sukan, beriadah dan berpersatuan.

Hajiji berkata, pembangunan belia dan beliwanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi
agenda utama kerajaan dalam membentuk sasiah masyarakat yang harmoni,
bertoleransi dan bersatu-padu.

“Sukan bukan saja mampu membina jati diri dan disiplin tinggi masyarakat khususnya
anak-anak muda yang merupakan harapan kita di masa hadapan, malah dapat
mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negeri
ini”, tegasnya.

Katanya, jumlah keseluruhan insentif kemenangan yang diberikan kepada atlit
cemerlang ialah RM481,600, satu jumlah yang agak besar tetapi amat berbaloi
dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri demi terus menarik minat dan penyertaan anak-anak
muda Sabah dalam bidang sukan.

Insentif kemenangan sebanyak RM10,000 diberikan kepada satu-satunya pemenang di
Sukan Komanwel Birmingham. Sementara Insentif sebanyak RM68,000 kepada
pemenang-pemenang Sukan PARA ASEAN Solo dan insentif berjumlah RM292,600
diberikan kepada para pemenang SUKMA 2022.

Beliau berkata, Kerajaan negeri juga tidak membelakangkan usaha gigih semua jurulatih
dan pengurus pasukan yang telah banyak mengorbankan masa serta tenaga menjaga
kebajikan pasukan masing-masing, dengan insentif sebanyak RM69,000 turut diberikan
kepada jurulatih-jurulatih dan RM42,000 kepada pengurus-pengurus pasukan yang telah
melahirkan atlet-atlet yang berjaya menyumbangkan pingat di SUKMA bulan lalu.

Hajiji menegaskan, selain pemberian insentif untuk atlet-atlet sukan, KBS juga
menyalurkan banyak bantuan kepada belia dan persatuan untuk memastikan anak-anak
di negeri ini mempunyai modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.-pr/BNN