KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda memandang serius perkara berkaitan perhubungan jaringan jalan raya di seluruh negeri khasnya di kawasan pedalaman.
Katanya, usaha menaiktaraf jalan raya di semua kawasan seluruh negeri perlu diambil serius dan diberikan peruntukan yang lebih besar.
“Kota Marudu antara 10 daerah termiskin di Malaysia tetapi mempunyai hasil pertanian yang dipasarkan ke kawasan lain-lain.
“Untuk mengatasi masalah kemiskinan itu, usaha menaiktaraf perlu dilaksanakan dengan serius dan bukan sekadar di Kota Marudu, bahkan sewajarnya di seluruh negeri dan negara juga kerana jalan raya merupakan infrastruktur asas yang sangat penting.
“Fungsi sebagai jalan perhubungan, untuk tujuan pengangkutan dan banyak lagi, termasuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk luar bandar, apabila mereka dapat membawa keluar hasil tanaman dan ternakan mereka untuk dipasarkan ke luar daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Tambah Wetrom lagi, naiktaraf jalan berkembar Langkon ke Pitas, Kota Marudu sepanjang 3.4 kilometer mampu menyumbang kepada nadi untuk peningkatan pembangunan di Kota Marudu.
Selain itu, naiktaraf jalan Samparita ke Sonsogon Magandai, jalan Teringai, jalan Mangin dan jalan Rondomon Pata Tuhau juga yang sudah mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan segera.
“Kita difahamkan sudah mendapat kelulusan dari pihak Kerajaan Pusat dan saya ingin memohon agar ia segera dilaksana, secepatnya untuk kegunaan dan kemudahan pergerakan rakyat kita.
“Saya juga ingin meminta perhatian dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah agar dapat menyenaraikan jalan Tanjung Batu ke Koromoko dan jalan Panaitan untuk perancangan menaiktarafkan jalan tersebut,” ujarnya.
Wetrom yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu turut menegaskan bahawa keperluan untuk memperbaiki segala peralatan kritikal serta kemudahan lain perlu dilaksanakan dengan kadar segera terutama sekali yang melibatkan rawatan, perubatan dan berkait dengan nyawa.
“Sesuai dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk membangunkan infrastruktur negeri, saya yakin banyak bangunan lama yang sudah uzur dan di kawasan saya sendiri memang perlu difokuskan masalah ini kerana ia sangat diperlukan untuk menampung keperluan rakyat Kota Marudu.
“Hospital perlu dinaiktaraf semua kemudahan mesin, teknologi perubatan dan banyak lagi kerana sektor perubatan adalah amat penting dan perlu seiring dengan keperluan dan perubahan semasa, ini melibatkan kualiti kesihatan dan nyawa rakyat kita.
“Peti sejuk untuk mayat sudah rosak dan perlu segera digantikan, dan masalah kekurangan bekalan perubatan seperti bekalan oksigen dan lain-lain juga perlu diatasi dengan kadar segera.
“Sudah tentu apabila ia berkaitan dengan sektor perubatan dan kesihatan, ia juga memerlukan kepakaran dan keperluan tenaga kerja seperti doktor dan jururawat yang mencukupi dan sepadan dengan nisbah penduduk serta keadaan kawasan, bukan sahaja di kawasan Kota Marudu, tetapi juga untuk semua daerah lain di seluruh negeri Sabah,” katanya lagi.-pr/BNN