KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani sebagai satu acuan besar nasional, perlu
diterjemah dalam secara lebih spesifik dengan pengisian terbaik mengikut konteks
tempatan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, gagasan Membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri Sabah, termasuk dalam lanskap serta ekosistem
tempatan negeri ini.

“Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri
menyeluruh dan inklusif. Namun begitu, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani
adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.

“Justeru, adalah penting proses “localisation”, atau menterjemah gagasan besar
kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik. Sebagai satu acuan
besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian-pengisian terbaik yang lebih
khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya ketika merasmikan Seminar
Membangun Malaysia Madani di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini
pada Selasa.

Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat
tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.

“Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani. Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya
hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi
dengan ciri lokal.

“Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani
kepada lanskap dan ekosistem negeri Sabah. Saya percaya, dalam mewujudkan
sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip
keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak
asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya.

Sebagai sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai latar etnik, geografi dan sejarah
yang pelbagai, katanya Sabah boleh mengambil posisi di hadapan bagi menterjemah
ciri-ciri Madani ini. Dalam pada itu, Hajiji berkata kedua-dua gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berkongsi aspirasi serta impian yang sama iaitu ingin melihat sebuah negara atau negeri yang berjaya dan maju dengan acuan kemanusiaan yang murni.

“Justeru, konsep Membangun Malaysia Madani ini bertepatan dengan pelan
pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri
selepas menerajui kerajaan pada September 2020.

“Sebagai contoh, antara inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah untuk mengukuhkan sosioekonomi rakyat dan membuat agihan kemakmuran yang lebih inklusif. Bagi konsep Malaysia Madani pula, antara matlamatnya adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Dengan menggabungkan kedua-dua inisiatif ini, kerajaan mempunyai pendekatan
yang lebih komprehensif dalam meningkatkan kemajuan serta pembangunan negeri, yang sejajar dengan kerangka kebangsaan dan hasrat tempatan,” katanya.

Beliau yakin melalui hubungan erat dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan
dengan kerajaan negeri, kedua-dua inisiatif ini boleh memainkan peranan penting
dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial yang inklusif kepada rakyat di
negara ini.

Sementara itu, Hajiji berkata seminar Membangun Malaysia Madani adalah satu
pendekatan yang amat relevan untuk menjelaskan secara terperinci konsep ini kepada
rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Pembabitan semua pihak juga terutama rakyat katanya, adalah penting bagi mengelakkan konsep Malaysia Madani menjadi sia-sia dan hanya tinggal slogan kosong semata-mata.

“Oleh itu, saya menganggap program pada hari ini adalah satu daripada pendekatan
yang sangat relevan dan tepat pada masanya bagi menjelaskan konsep ini secara
meluas serta terperinci kepada peringkat akar umbi.

“Ini adalah usaha murni untuk kita di peringkat kerajaan negeri, penjawat awam negeri
dan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan masyarakat
awam menghayati konsep Malaysia Madani.-pr/BNN