KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mula
bertugas selepas menjalani pembedahan “gallstone”, hari ini menerima kunjungan
hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah baharu, Datuk Jauteh Dikun di kediaman
rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, dekat sini.

Jauteh 57, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah berkuat kuasa 2 Mei 2023 bagi
menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara pada 31 Mac lalu.

Dalam taklimatnya kepada Hajiji, Jauteh memaklumkan tentang program, rancangan, operasi dan isu yang dihadapi oleh pasukan polis di Sabah. Hajiji yang mengalu-alukan pelantikan Jauteh dan Shahurinain sebagai Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, yakin mereka dan pasukan polis mampu memastikan tahap keselamatan Sabah kekal terpelihara dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Beliau memberi jaminan kepada Jauteh, Kerajaan Negeri akan membantu memudahkan pembinaan lebih banyak pondok polis dan juga operasi keselamatan di seluruh negeri. Jauteh berterima kasih kepada Hajiji dan Kerajaan Negeri atas sokongan padu yang
diberikan kepada pasukan polis selama ini.

Mengiringi Jauteh dalam kunjungan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu, Deputi Komisioner Shahurinain Jais, Ketua Cawangan Khas (KCK), SAC Datuk Mohd Salleh Yahya, Ketua Jabatan Pengurusan (KJP), SAC Nik Md Zain Nik Omar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ), SAC Azmi Abdul Rahim dan Ketua Jabatan Logistik, ACP Datin Laila Sagir. pr/BNN

SHARE
Previous articlePBS pilihan rakyat DUN Lumadan
Next article