SUKAU: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Tanah dan Ukur Negeri menyerahkan
sebanyak 344 Geran Tanah Anak Negeri kepada penduduk tempatan dari 34 kampung
di kawasan Sukau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan geran-geran
tanah itu melibatkan jumlah keluasan sebanyak 722.5 hektar (1,785.4 ekar) pada Majlis
Himpunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau/Lamag di
Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.

Antara kampung-kampung terlibat ialah Kampung Sukau sebanyak 26 geran tanah, Kg.
Sg Teneggang- (49 geran tanah), Kg. Bukit Garam (24 geran tanah), Kg. Sg Takala (22
geran tanah), Kg. Usaha Jaya (51 geran tanah) dan Kg. Sinar Jaya (30 geran tanah).
Daripada 344 geran tanah itu, sebanyak 141 adalah geran tanah hasil daripada Program
Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan 203 geran dari proses
permohonan tanah biasa.

Sementara itu, Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri
Kampung Litang, Sukau seluas 82.3 hektar (203.4 ekar) daripada Pengarah Jabatan
Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik
Abdul Manap Abd.Ruhim.

Bercakap kepada pemberita, Hajiji berkata kira-kira 8000 geran tanah telah tersedia
dan penyerahannya kepada rakyat akan dilakukan oleh beliau semasa lawatan ke
daerah-daerah dan oleh Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan.-pr/BNN