SUKAU (KINABATANGAN): Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya
(SMJ) dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang bukan saja tidak
wajar, malah tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang
terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah.

Katanya, inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam
pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan
kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.

“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya
guna itu untuk memartabat cogan kata itu dan memperkasakannya lagi.

“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala
tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang,
SMJ air tiada”.

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana
bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang
guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
berkata demikian pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau / Lamag di
Dataran Pekan Sukau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah;
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Penerangan,
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Dato’ Juhari
Haji Janan dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Encik Abu Bakar Gapar.

Hajiji berkata, ketika ini SMJ bukan saja diiktiraf di negeri ini, malah turut mendapat
pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang
bersetuju menjadikan ‘SMJ’ sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri.

“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju
supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta Kerajaan Negeri Sabah”.

 

“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia
adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya.

Katanya, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk
bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma
dan ijazah.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih dua tahun memerintah, kerajaan pimpinannya juga
melakar banyak kejayaan dalam aspek ekonomi termasuk berkaitan perjanjian dengan
PETRONAS yang menyaksikan Sabah menerima perkongsian kepentingan dalam
beberapa projek syarikat minyak dan gas negara, di Sabah.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin
Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah untuk menarik sokongan rakyat
di seluruh negeri termasuk di kawasan Lamag dan Sukau.

“Saya cukup gembira pada hari ini kerana nampak bahawa Gagasan Rakyat sudah mula
diterima di Lamag dan Sukau, cerah masa depan dan saya berharap kedua-dua Ketua
Bahagian terus kerja kuat untuk memastikan Sukau dan Lamag menjadi milik Gagasan
Rakyat pada pilihan raya nanti”.

“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang kita tubuhkan untuk teruskan perjuangan
kita di Sabah dan ia adalah ahli GRS kerana dalam GRS kita ada tujuh parti yang akan
memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah pada masa akan datang”.

“Inilah yang kita buat kerana itu hari ini himpunan rakyat dan pelancaran parti ini
memberi cerminan kepada kita bahawa Sukau dan Lamag memerlukan Gagasan
Rakyat untuk maju ke hadapan”.

“Percayalah kalau kita bersatu hati dan bekerja betul untuk rakyat, kita boleh lakukan,
kita boleh tukar keadaan Sukau dan Lamag sepeti mana dikehendaki rakyat kawasan
ini,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan akan memberi tumpuan kepada Lamag dan Sukau terutama
keperluan rakyat di kawasan berkenaan.

Sejajar dengan itu, katanya beliau bersetuju meluluskan projek membina sebuah Dewan
di Sukau yang bernilai RM 3 juta dan menyokong cadangan menjadikan Sukau sebagai
sebuah daerah kecil.

“Kerajaan GRS akan memastikan Daerah Kecil Sukau menjadi kenyataan. Ini sudah
lama dicadangkan tapi tidak diperjuangkan oleh pimpinan dulu”.

“Hari ini kita akan jadikannya kenyataan dan kita akan pastikan Pejabat Daerah Kecil
Sukau dapat dibina,” tegasnya.-pr/BNN