TUARAN: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukkan sebanyak RM10 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini untuk kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Kerajaan amat prihatin dan akan memastikan usahawan khususnya wanita mendapat peluang dan kemudahan pinjaman yang sama rata.

Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan negeri lain yang menawarkan bantuan dana
turut menyediakan kursus dan latihan perniagaan, disamping bantuan promosi dan
pemasaran produk ke pasaran dalam dan luar negeri.

“Kerajaan negeri turut memberi perhatian dan tumpuan kepada pembangunan peniaga
kecil dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebagai industri pendukung
dan pemangkin kepada sektor pembuatan”.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan
Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi mempergiatkan
promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa”.

“Bagi memperkasakan dan memantapkan lagi Program Bantuan IKS, Program
Persijilan MESTI dan Halal telah bermula tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah
bersaing di peringkat antarabangsa. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah
RM15 juta bagi menyokong program ini”, katanya ketika merasmikan penutupan Hari
Keluarga Terbuka Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Tuaran 2023 di Dewan
Seri Sulaman pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, AIM sebagai penyedia kewangan mikro di negara ini banyak membantu
usahawan kecil dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di negara ini, termasuk
golongan wanita dan B40 untuk keluar daripada kepompong kemiskinan di negeri ini.

Menurutnya. terdapat kalangan Usahawan kecil yang berjaya memperolehi pendapatan
sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, hasil bantuan AIM.

“Ini membuktikan AIM telah berjaya membantu mengangkat martabat para peniaga dan
sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat di seluruh negara”

“Di Tuaran sahaja, seramai 3,102 ahli AIM mendapat pembiayaan pinjaman daripada
AIM bagi menjalankan perniagaan”, tegasnya.

Beliau berharap AIM terus membantu menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada
sahabat usahawan di Sabah secara keseluruhannya agar dapat menjana pendapatan
mereka dan seterusnya meningkat kekuatan ekonomi negara.

Hajiji percaya dengan peruntukan RM10 juta untuk AIM yang diumumkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia telah dapat membantu melancarkan pelaksanaan
program yang dirangka agensi itu dalam membantu Sahabat Usahawan di negara ini.

“Justeru, saya meminta peniaga untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang
ditawarkan kerajaan untuk membangunkan perniagaan mereka”.

“Saya menyeru lebih ramai usahawan mengambil kesempatan daripada inisiatif
kerajaan supaya dapat mengakses pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber. Ini
selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk
membangunkan modal insan dan memupuk pembangunan keusahawanan”.

“Saya juga ingin melihat supaya usahawan kita berdaya saing, inovatif, dinamik dan
proaktif serta menerokai peluang untuk mengatasi semua halangan dan seterusnya
menuju ke peringkat global”, tegasnya.-pr/BNN