MATUNGGONG: Warga pendidik dan ibubapa mempunyai peranan yang penting dalam meningkatkan kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM di Sabah, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Majungki.
“Dengan semangat dan cara kerja warga pendidik, ibubapa dan pelajar semua, saya yakin usaha untuk menanam minat kalangan pelajar terhadap bidang STEM dapat diperbaiki.
“Justeru, saya melihat ada keperluan untuk kita, termasuk saya sendiri sebagai pemimpin di sini, sesuaikan pendekatan selaras aspirasi kita dan kerajaan dalam perkara ini,” katanya.
Julita berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Sabah Datuk Dr. Mohd. Arifin Arif berkenaan perkara tersebut.
Dr. Mohd. Arifin menyatakan bahawa kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM di Sabah hanya pada kadar 27 peratus berbanding dengan kadar yang terdapat di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia yang melebihi tahap 30 peratus.
“Kenyataan tersebut bermaksud kita turut mempunyai tanggungjawab ke arah mencapai sasaran yang diinginkan berlaku di negeri Sabah khususnya sekolah-sekolah yang terdapat di kawasan Matunggong,” kata beliau.
Julita yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata demikian sempena Perasmian Program Memperkasa Kecemerlangan Akademik peringkat Daerah Kecil Matunggong dan pemberian insentif kepada pelajar SPM 2022 yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dan ke atas dekat sini pada Khamis (27 Julai).
Dalam majlis tersebut beliau menyatakan perasaan gembira dan ucapan tahniah kepada para pelajar cemerlang di empat buah sekolah menengah iaitu SMK Matunggong; SMK Pinawantai; SMK Sikuati dan SMK Sikuati 2 yang telah mencapai keputusan yang amat membanggakan.
“Saya amat berbangga dan tumpang gembira di atas pencapaian ini. Saya yakin, usaha para pelajar adalah yang terbaik sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang. Tahniah juga kepada ibubapa dan warga pendididk di atas komitmen tidak berbelah bagi”
Tambah Julita lagi, program pemberian insentif ini adalah bertujuan untuk mendorong para pelajar agar lebih gigih berusaha dalam pelajaran mereka.
Menurutnya lagi, bilangan yang layak menerima insentif bertambah dari tahun ke tahun sejak inisiatif ini diperkenalkan tiga tahun yang lalu iaitu pada tahun 2020.
“Tahun ini seramai 92 orang pelajar layak menerima insentif yang melibatkan dana berjumlah RM54,800,” kata beliau.
Sementara itu, Julita menegaskan bahawa semua pihak mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menghasilkan modal insan yang bukan sahaja pandai dan bijaksana tetapi juga bertanggungjawab, reliable dan berintegriti.
Katanya, beliau juga sedar bahawa kawasan di zon utara masih berada dalam kategori daerah termiskin, justeru membangun kawasan ini tidak mudah.
Namun beliau berkeyakinan bahawa jika semua pihak menabur dengan baik khususnya dalam bidang pendidikan, masyarakat di sini mampu keluar dari kepompong ini.
“Adik-adik semua, kamu adalah pewaris kepada kawasan dan negeri ini. Kampung halaman kita. Jagalah tempat ini. Jadilah tenaga mahir, pemikir dan pemangkin kepada pembangunan negeri pada masa itu.
“Pilihlah untuk terus melakar kejayaan dan jangan sesekali sabotaj peluang kamu dengan sikap tidak bertanggungjawab atau sikap tidak berdisiplin.
“Bila sudah berada di kolej atau universiti, hargai peluang itu dan jangan terlalai dengan perkara remeh-temeh. Warga pendidik dan ibubapa, moga-moga kita tidak kehilangan visi untuk membangun modal insan kita di kawasan ini,” jelas beliau. -pr/BNN