TUARAN: Kerajaan Negeri akan memastikan masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat Sabah ketika ini dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua keperluan rakyat itu mulai sekarang.

Katanya, ia selaras komitmen Kerajaan Negeri meletakkan usaha mengatasi masalah
bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini sebagai keutamaan ke arah
mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan
elektrik yang menjadi masalah sekarang, dan kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi ke hadapan.

Jika diurus dengan baik, insyaAlah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini”.

“Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman pada Ahad.

Hajiji berkata, bagi masalah air, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, dekat sini yang sedang dalam proses penyiapan akhir naik taraf ketika ini dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.

Katanya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (JLS) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini, sekali gus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kedua￾dua kawasan ketika ini.

Beliau berkata, loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.

“Untuk air, Kerajaan Negeri sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air
dari 40 JLS kepada 80 JLS di Kogopon, Papar yang sedang dilaksanakan dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026”.

“Selain itu sebanyak 80 JLS lagi tambahan di LRA Telibong II bagi mengatasi masalah air di utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan,” katanya.

Katanya, menerusi usaha Kerajaan Negeri, ditambah peruntukan RM320 juta dari
Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah, masalah bekalan air di negeri ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Bagi bekalan elektrik, katanya antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan loji janakuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.

Jelasnya, pelaksanaannya projek itu bakal dimulakan dalam masa terdekat dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan parti itu dan rakan komponen di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertahankan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, selain kerusi
yang disandangnya, tiga kerusi lagi iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu diyakini kekal milik GRS atas kerjasama semua komponennya.

“Di Tuaran saya beri jaminan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu tetap milik GRS pada PRN akan datang. Kita sedia menghadapi apa juga cabaran dan bertarung dengan mana-mana parti yang menentang kita di Tuaran”.

“Apa yang penting ialah kerjasama parti antara kita, jangan ada sabotaj antara kita.
Kalau GRS sudah tentukan calon maka tugas kita Gagasan Rakyat untuk menangkan calon kita,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menasihatkan perwakilan pada mesyuarat berkenaan dan rakan parti di keempat-empat DUN supaya sama-sama memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, para pemimpin parti komponen GRS dan Pakatan Harapan Sabah serta Gagasan Rakyat Sabah.-pr/BNN