KOTA KINABALU: Teck Guan Group (Teck Guan) salah sebuah syarikat pengeluar minyak sawit terbesar di Sabah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan untuk menghentikan kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) yang dikenakan kepada pengeluar minyak sawit di Sabah dan Sarawak.
Sabah dan Sarawak merupakan negeri terbesar menghasilkan minyak sawit di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Teck Guan Datuk Hong Ngit Ming berpendapat, bahawa penggunaan WPL ke atas minyak sawit adalah tidak wajar dan kurang bijak kerana tindakan itu akan memberikan gambaran kepada seluruh dunia bahawa harga minyak sawit Malaysia terlalu tinggi, sedangkan hakikatnya harganya sangat rendah berbanding tanaman kontan yang lain.
“Sebagai contohnya, sekiranya harga minyak sawit adalah RM3,600 satu tan, bagi orang awam ia sememangnya harga yang tinggi, tetapi kepada pengusaha kelapa sawit, mereka tahu bahawa bagi menghasilkan satu tan minyak sawit, sebanyak lima tan Tandan Buah Segar (TBS) diperlukan.
“Berdasarkan fakta ini, harga TBS adalah RM720 satu tan atau RM0.72 sekilogram. Apabila dilihat dalam konteks ini, harga ini adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan RM13 sekilogram buah manggis segar, RM60 sekilogram durian Musang King segar atau RM1.60 sekilogram buah koko segar.
“Sila ambil perhatian bahawa kita sebenarnya membandingkan produk yang sama, perumpamaan perbandingan antara ‘epal sama epal’ dengan menukar semua unit kepada asas buah segar.
“Oleh itu, tiba masanya kerajaan untuk menghapuskan WPL secara tuntas bagi mengurangkan beban para petani, memandangkan harga minyak sawit sememangnya rendah dan susah untuk diatasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada cadangan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk mengurangkan WPL kepada pengusaha minyak sawit di Sabah dan Sarawak daripada 3 peratus kepada 1.5 peratus.
Pada 3 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan KPK telah mengemukakan cadangan semakan semula kadar WPL bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus berbanding tiga peratus ketika ini kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) telah menggesa agar kerajaan bertindak mengembalikan WPL di Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus dalam Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan pada 13 Oktober ini.
Persatuan itu mendakwa sejajar dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat, kerajaan juga diminta menyemak semula ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,500 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan kepada RM4,000 satu tan bagi penanam Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Hong juga menyokong beberapa pandangan Presiden Pergabungan Persatuan Peladang (ISP) Datuk Daud Amatzin berkaitan dengan kesan WPL kepada industri minyak sawit.
Hong bersetuju dengan kenyataan Daud yang menegaskan Undang-Undang (RUU) Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa Buah Kelapa Sawit 2023 yang diwartakan pada 31 Januari 2023, untuk mengenakan serta mengutip levi ke atas pengeluaran buah sawit berkuat kuasa 1 Februari 2023, adalah tidak adil kepada pengusaha, terutamanya apabila mereka tidak diberikan peluang untuk berbincang sebelum RUU berkenaan diluluskan.
Hong berkata, Daud menjelaskan idea mengenai ‘keuntungan durian runtuh’ dan apa yang dimaksudkan sebenarnya masih kabur.
Selain itu katanya, persoalan juga timbul bagaimana dan ke mana hasil yang dikutip daripada pengenaan levi itu dibelanjakan selama ini.
Beliau juga kecewa terhadap Ahli-ahli Parlimen kerana gagal mengutarakan isu ini dengan lebih berani kerana perkara itu adalah isu penting yang membimbangkan pada ketika ini.-pr/BNN