KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap
peristiwa hitam cubaan rampasan kuasa kerajaan awal tahun ini, tidak berulang lagi
demi kemajuan dan kemakmuran negeri.

Katanya, peristiwa itu sebenarnya sukar untuk dilupakan, dan antara titik hitam dalam
sejarah politik Sabah yang sangat mengecewakan.

“Masih segar dalam ingatan kita semua akan suatu cubaan kudeta politik pada awal
tahun ini oleh segelintir pemimpin atau kumpulan, yang juga merupakan rakan kita
sendiri”.

“Akibat daripada cubaan itu, segala urusan pentadbiran negeri telah terganggu seketika,” katanya dalam Ucapan Dasar sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Perhimpunan Agung pertama parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Isnin.

Hajiji berkata, suasana ketika itu amat genting dan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh
serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.

“Rakyat menjadi cemas. Mereka bimbang kalau-kalau akan berlaku lagi Pilihan Raya
Negeri. Satu situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik”.

“Namun, berkat sokongan daripada rakan-rakan yang asalnya parti lawan, iaitu Pakatan
Harapan Sabah, kerajaan yang berpaksikan kepada GRS ini telah dapat diselamatkan
dan terus memegang tampuk kerajaan”.

“Terima kasih kepada rakan-rakan daripada PH termasuk beberapa Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) daripada BN/UMNO yang tetap menyokong dan mendokong Kerajaan GRS, lalu menjadikan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai Kerajaan GRS-
PH Plus,” katanya.

Sambil berharap rakyat merenung kembali peristiwa itu bagi menentukan kerajaan terus
utuh mentadbir negeri.

 

Katanya, peristiwa itu membolehkan `kita tahu siapa kawan dan lawan, dan lebih penting
kita dapat mengenali hati budi sahabat sejati.’

Hajiji menegaskan bahawa tindakan hendak menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat dengan sewenang-wenangnya dan sebegitu rupa, adalah suatu tindakan terdesak yang sangat memalukan dan tidak beretika.

Beliau mengulangi pentingnya Gagasan Rakyat diperkukuhkan sebagai satu-satunya landasan perjuangan, dan menyifatkan parti itu sebagai `rumah kita’ yang perlu dijaga
bersama.

“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah
kita, kitalah yang jaga,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan ahli parti bekerja keras bagi menghadapi pilihan raya negeri
pada bila-bila masa.

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi, namun siapa tahu
kemungkinan pilihanraya akan kita awalkan?,” tegasnya.

Untuk itu, katanya, kepimpinan parti semua peringkat wajib terus diperkukuh dan tidak
boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk parti, rakyat dan negeri.

Katanya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif
baharu untuk membantu segenap lapisan rakyat di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada.

Beliau mengambil beberapa contoh dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan
dan pembelaan nasib golongan wanita.-pr/BNN