KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berharap Belanjawan Sabah 2024 memberi keutamaan kepada infrastruktur dan prasarana di kawasannya.
Beliau berkata, keutamaan harus diberikan terhadap isu jalan bekas pembalakan yang menjadi jalan penghubung oleh penduduk kampung di Nabawan.
“Apa yang saya harapkan menerusi belanjawan negeri Sabah pada tahun 2024, masalah jalan-jalan bekas pembalakan yang sekian lama menjadi laluan utama penduduk di daerah Nabawan dapat diambil perhatian dan menerima agihan peruntukan oleh kerajaan negeri untuk di selenggara atau dinaik taraf.
“Begitu juga dengan masalah bekalan air bersih juga adalah masalah di daerah Nabawan, masyarakat di kawasan saya inginkan agar pihak kementerian dan agensi kerajaan berwajib mengkaji semula bekalan air di daerah ini kerana isunya, apabila musim tengkujuh atau musim kemarau bekalan air kerap kali akan terputus.
“Selain itu, isu liputan jaringan atau akses internet ini yang masih rendah ketersampaian di kawasan saya juga masih perlu diberi perhatian serius,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dekat sini.
Beliau menegaskan sering menyuarakan isu pembangunan Nabawan yang mempunyai banyak potensi terutama dalam sektor ekonomi khususnya dari segi pertanian, pelancongan dan perindustrian.
“Lebih-lebih lagi apabila dalam beberapa tahun ke depan ibu kota Indonesia akan berpindah ke Kalimantan yang mana akan memberi kesan langsung kepada kawasan daerah Nabawan yang berhampiran dengan Kalimantan Indonesia,” katanya.
“Oleh itu, saya memohon kerajaan menambah pembinaan bangunan-bangunan kedai seperti bangunan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan kemudahan prasarana awam yang lain,” katanya.-pr/BNN