KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada berita di dalam Sabah News Today Portal yang bertajuk “Penduduk alami sakit, muntah akibat terhidu sisa toksik lombong haram di Bukit Mantri, Balung di daerah Tawau”.

Dalam satu kenyataan Datuk Dr.Asits Bin Sanna Pengarah Kesihatan Negeri Sabah berkata susulan dari itu, terdapat persoalan samada perlombongan tersebut memberi kesan kesihatan terhadap penduduk sekitarnya dan apa implikasi kesihatan dalam isu ini. JKNS ingin memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perlindungan Alam

Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan sememangnya terdapat aktiviti perlombongan emas di lokasi tersebut yang telah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan kepada hasil laporan Environmental Impact Assessment (EIA). Penggunaan Sianida untuk mengekstrak emas adalah secara tertutup dan pelupusannya adalah mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan, kata nya.

Menurut beliau, JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau telah membuat siasatan serta verifikasi berkenaan aduan ini. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan berlaku.

Kesemua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes berkenaan keracunan Sodium cyanide. Hasil siasatan dan pemeriksaan kawasan kampung sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala.

“PKK Tawau juga telah menjalankan pemantauan bersama dengan JPASS mendapati tidak ada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos secara khususnya dan Penduduk Tawau secara umumnya.”

“Pencemaran Sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air. Pencemaran ini boleh memberi kesan kesihatan negatif kepada kepada individu yang terdedah. Kesan khusus keracunan Sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan.”

“Pihak JKNS ingin menasihati semua penduduk yang mempunyai gejala- gejala berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera di Klinik-Klinik kesihatan atau Hospital berdekatan. JKNS bersama dengan agensi- agensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan penduduk Daerah Tawau. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.”-pr/BNN