KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada pertanyaan daripada pihak media mengenai status perkembangan tindakan bagi kejadian kebakaran pada 14 Februari 2024 yang telah memusnahkan bangunan klinik dan kuarters Klinik Kesihatan (KK) Tangkarason, Beluran.

Dalam satu kenytataan Datuk Dr. Asits Bin Sanna Pengarah Kesihatan Negeri Sabah berkata susulan daripada kejadian tersebut, perkhidmatan kesihatan KK Tangkarason telah ditempatkan sementara waktu di Dewan Kg. Tangkarason sejak 19 Februari 2024.

JKNS telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembinaan bangunan baharu KK Tangkarason termasuk kuarters. Sehubungan dengan itu, KKM telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1,040,000.00 untuk kerja-kerja pembinaan bangunan baru KK Tangkarason termasuk kerja-kerja pembaikan kecil Dewan Kg. Tangkarason yang bernilai RM50,000.00. KKM juga telah meluluskan sebanyak RM362,600.00 untuk perolehan aset perubatan.

Proses kerja pembinaan bangunan klinik, pembaikan Dewan Kg. Tangkarason dan perolehan aset perubatan sedang dalam pelaksanaan di bawah Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beluran.

Untuk tempat tinggal kakitangan yang terjejas dengan kebakaran, KKM telah meluluskan peruntukan bagi tujuan sewaan sebuah homestay untuk kuarters sementara KK Tangkarason. Selain itu, KKM telah memberi pengesahan peruntukan berjumlah RM500,000.00 bagi kerja-kerja pembinaan kuarters berkembar yang akan dimulakan pada tahun 2025.

Berkenaan isu kakitangan yang tidak mencukupi di KK Tangkarason, pegawai perubatan berpindah keluar ke JKN Johor pada Julai 2023. Walau bagaimana pun, lawatan berkala dilakukan oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Paitan sejak Ogos 2023. Penempatan pegawai perubatan tetap di KK Tangkarason sedang diusahakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, bagi jawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP), terdapat dua (2) perjawatan PPP di KK Tangkarason. Namun begitu, salah seorang pegawai telah berpindah keluar untuk mengikuti latihan Diploma Lanjutan. Pegawai ini akan diganti dengan pegawai yang baharu pada pertengahan bulan April ini.

JKN Sabah akan terus memantau perkhidmatan kesihatan untuk komuniti serta kebajikan kakitangan KK Tangkarason. Pelaksanaan projek pembinaan klinik baharu ini serta perolehan aset perubatan akan dipantau agar ianya siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.-pr/BNN