KOTA KINABALU:  Cassandra Elena Annul muncul sebagai johan Miss Cultural University College Sabah Foundation (UCSF) 2024 sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat universiti tu yang berlangsung di kampusnya di Sembulan semalam.
Naib johan dimenangi oleh Elisha Charylvalle Jifrin dan tempat ketiga disandang oleh Angie Lim Hiew Yee. Manakala Miss Popular dimenangi oleh Elisha Charylvalle Jifrin.
Miss Cultural UCSF 2024 merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh warga UCSF kerana ia sinonim dengan pertandingan Unduk Ngadau di Sabah, dengan mengangkat tema yang sama iaitu mempersembahkan kepelbagaian pakaian tradisi bangsa Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Pesta Kaamatan UCSF Tahun 2024 disambut  meriah oleh warga UCSF seiring dengan kemeriahan musim perayaan Kaamatan yang diraikan oleh masyarakat Sabah pada bulan Mei ini.
Pesta itu adalah anjuran bersama  para pelajar subjek MEM1142 dan MEM1143 (Event Project Management) UCSF, Student Affairs Department (SAD), Faculty of Management & Entrepreneurship (FME) serta UCSF Entrereneurship Club (UEC).
Antara pengisian Pesta Kaamatan UCSF ialah acara mini sukan rakyat yang yang merangkumi permainan tradisi seperti Mipulos (Gusti Lengan), Momolistik (Melastik), Pancing Botol, Boling Kelapa dan Teka Berat Beras.
Acara itu turut disertai oleh Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris yang mengambil bahagian dalam kesemua pertandingan.
Beliau turut menyempurnakan gimik perasmian Pesta Kaamatan UCSF dengan melakukan sumpitan kepada belon.
Acara lain ialah  Pertandingan Masakan Tradisi yang mempersembahkan skil masakan pelajar UCSF dalam menyediakan masakan tradisi Sabah seperti Hinava, Nasi Linopot, Pinasakan, Bosou dan lain-lain.
Johan Pertandingan Masakan Tradisi dimenangi oleh gabungan 3 pelajar ialah Siti Aidah Moktie@Mokti, Mohd Irfan Ahmad dan Zhafizah Asmat. Naib johan dimenangi oleh gabungan Brenda David dan Syaidatulmulia binti Mabulmaddin.
Tempat ketiga disandang oleh gabungan Lorika Soon Chui Le, Carmelyn Joseph dan Halerryson Rainus.
Pertandingan Sugandoi turut diadakan dengan johan dimenangi oleh Sebastian Suipin, Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh Meredy Muriel Michael dan Jaqueenie Johny.
“Best Outfit of The Day” (OOTD) kategori lelaki dimenangi oleh  Nathanael Owen Maklin dan perempuan dimenangi oleh Vyvecca Pearla Justine. Sementara Booth terbaik dimenangi oleh G6 Oishii Oden.
Reruai yang menawarkan pelbagai jualan makanan dan minuman turut disediakan sepanjang program ini berlangsung.
Pesta Kaamatan UCSF juga diserikan dengan persembahan tarian tradisional Sabah daripada UCSF Dance Club diiringi muzik secara live daripada UCSF Music Club,
persembahan nyanyian dan cabutan bertuah.-pr/BNN