TAWAU: Golongan belia perlu menyertai persatuan-persatuan belia dan menghindarkan diri daripada terjerumus dengan najis dadah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir.
Katanya, sebagai aset negara, golongan belia  perlu  mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan serta persatuan-persatuan belia yang berdaftar.
“Ini penting agar generasi belia kita dapat dibimbing dan dibentuk menjadi pewaris kepimpinan negeri dan negara yang sihat, berpendidikan, berwawasan dan berinovasi.
“Jangan sekali-kali terlibat dengan najis dadah kerana ia akan menghancurkan masa depan para belia sekaligus menghancurkan harapan para ibu-bapa.
“Sertailah aktiviti yang sihat dan berfaedah, yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan termasuklah yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), jabatan belia dan lain-lain”, katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa MADANI di Dewan GPW Felda Umas pada Khamis.
Program itu anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama AADK Tawau dan SKMM Tawau.
Hassan A Gani berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil tahu dan mengawasi pergualan dan aktiviti anak-anak mereka di luar rumah.
Menurutnya, ini penting bagi membantu memastikan anak-anak mereka terhindar daripada gejala najis dadah dan aktiviti tidak berfaedah lain.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan dalam talian yang sering dilakukan oleh scammer.
Katanya, jenayah penipuan (scammer) semakin berleluasa termasuk di kawasan luar bandar dan menyebabkan ramai menjadi mangsa.
“Saya menasihatkan masyarakat di Felda Umas dan kawasan Sebatik agar sentiasa berwaspada dan jangan mudah dieksploitasi, cepat panik kerana scammer licik dalam memanipulasi psikologi sehingga mangsa mendedahkan butiran peribadi termasuk maklumat perbankan dan akhirnya mereka kehilangan wang”n tegasnya.-pr/BNN