KENINGAU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk
pembinaan fasa ke-3 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi
menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembinaan yang sedang
berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung oleh IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.

“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah”.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS pada Selasa.

Beliau yakin IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri mempelawa para pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekaligus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

Menurutnya, ini juga mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan,
termasuk latihan kemahiran, disamping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk
dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.

“Ini sebenarnya merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, disamping
pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah
Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang”, katanya.

Katanya, dengan adanya para pelabur asing membuka kilang, mendirikan gedung-gedung
perniagaan, melabur dalam pelbagai bidang pertanian dan perindustrian akan mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

 

Menurutnya, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan anak-anak negeri ini dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan.

Beliau berkata, ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat
bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya”, katanya.

Hajiji juga mengingatkan para graduan yang berhasrat menerokai alam pekerjaan agar
jangan terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata, kerana zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu dimana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi.

Katanya, istiadat konvokesyen itu juga merupakan simbol kejayaan IPDAS dalam menghasilkan warga yang berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.-pr/BNN