KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah lebih bermakna kerana ia diraikan bersama-sama dengan Hari Kebangsaan mulai tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri PanglimaHaji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata tarikh 31 Ogos setiap tahun adalah penting dan berakar umbi dalam
sejarah, bukan sekadar untuk mengenang dan meraikan tetapi untuk dihayati dalam
semangat patriotisme serta menghargai keberanian dan pengorbanan besar pejuang
kemerdekaan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia di Sabah supaya istiqamah dalam
menjaga kedaulatan negara dan terus menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah
dengan penuh semangat dan rendah diri kerana kemerdekaan adalah anugerah yang
tidak ternilai.

“Perkara yang menyatukan kita – keamanan, keharmonian, perpaduan dalam
kepelbagaian dan aspirasi kita untuk kemajuan dan pembangunan jauh mengatasi
perkara yang memecahbelahkan kita.

“Marilah sematkan dalam hati sanubari kita bahawa sambutan Hari Kebangsaan dan
Hari Sabah adalah milik kita. Marilah kita berdiri teguh menyokong kerajaan dan tidak
terpengaruh dengan perkara negatif yang mengancam untuk memecahbelahkan kita,”
katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.

Hajiji berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”
menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan masyarakat yang adil dan
makmur serta melambangkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang unsur
negatif dalam mentafsir patriotisme dan cintakan negara.

Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari
Sabah 2024 kepada semua rakyat Malaysia.