KOTA KINABALU: Lebih 200 orang pelajar dan pensyarah University College Sabah Foundation (UCSF) telah menyertai program ceramah khas mengenai kebolehpasaran graduan di kampusnya di Sembulan, dekat sini.
Ceramah yang bertajuk ” Kebolehpasaran Graduan: Impian dan Realiti”, telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Qualification Agency (MQA), Dato Prof Dr Shatar Sabran.
Dalam perkongsian itu, antara lain Dr.Shattar Sabran menekankan pentingnya para graduan serta universiti untuk sentiasa mengadaptasi dan mengambilkira perkembangan semasa berdasarkan permintaan pasaran.
Katanya, permintaan pasaran buruh ketika ini tidak sama dengan permintaan pada 20-30 tahun lalu.
Dalam pada itu, Naib Canselor UCSF, Datuk Dr Rafiq Idris berkata, program anjuran universiti itu bagi memahami dinamika semasa berkaitan permintaan pasaran buruh dalam negara.
“Ianya penting bagi universiti dan pelajar untuk memahami ciri-ciri permintaan di alam pekerjaan pada ketika ini agar penyesuaian boleh dibuat supaya apa yang diharapkan atau diimpikan tidak jauh daripada realiti sebenar.
“Program ini adalah antara langkah strategik universiti dalam mempersiapkan pelajar agar lebih bersedia sebelum memasuki dunia pekerjaan”, katanya.-pr/BNN