KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan klip video ditular yang mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah terlibat dalam rasuah, yang dipercayai didalangi oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan imej Kerajaan Negeri.
Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat  Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, Brig.Jen (Kehormat) Rela, Dato’ Jerry  Ambuting Mohd Said berkata, klip video yang ditular itu tidak boleh dipercayai kerana ia tidak disusuli dengan laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekiranya penyebar klip video tersebut berada di pihak yang benar, sudah pasti individu tersebut sudah melaporkan apa yang didakwanya sebagai perbuatan rasuah kepada pihak polis atau SPRM.
“Kenapa penyebar klip video tersebut tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM, sebaliknya hanya menyebarkan klip video tersebut di media sosial?
“Ini menunjukkan bahawa klip video tersebut hanyalah rekaan untuk disebarkan untuk kepentingan peribadi dan sengaja mengaitkan ADUN Kerajaan dengan motif memfitnah dan menjejaskan nama baik dan reputasi mereka dan Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini, mengulas tentang klip video yang kini ditular di sosial media.
Sehubungan itu, Jerry mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan rasuah tersebut hanya berdasarkan beberapa rakaman video yang disebarkan di media sosial.
Beliau juga berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap penularan klip video tersebut.
Jerry  turut memuji dan menyokong tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang meminta SPRM untuk melakukan siasatan terhadap isu tersebut.
Hajiji pada Isnin telah meminta SPRM menyiasat rakaman audio ADUN yang tular dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Dalam sebuah laporan berita, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM berkenaan isu berkenaan. -pr/BNN