KOTA KINABALU: Wanita Parti Harapan Rakyat Sabah menyelar desakan daripada Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah yang menggesa Ketua Menteri Sabah untuk meletak jawatan.
Mungkin WANITA UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah terlupa bahawa mereka juga pernah berdepan isu seperti ini ketika memerintah dahulu apabila beberapa pemimpin UMNO juga pernah terpalit isu fitnah rasuah, juga ada desakan untuk peletakan jawatan termasuk membabitkan kepimpinan UMNO itu sendiri.
Keadaan itu menyebabkan UMNO yang dulunya gah, berlaku perpecahan dalaman sehingga membolehkan UMNO jatuh malah hampir terkubur. Sekali gus memberi kesan kepada banyak pihak.
Situasi yang sama telah berlaku di Sabah, dan adakah hanya dengan suntingan video yang jelas terlihat perancangan (muslihat) si perakam, yang belum sahih dan diputuskan siasatan oleh pihak berwajib, Ketua Menteri harus meletak jawatan? Adalah tidak adil untuk Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri Sabah sedangkan belum ada pendakwaan atau keputusan mahkamah dilakukan.
Seharusnya kedua-dua sayap UMNO Sabah ini kembali melihat cermin sebelum mengeluarkan kenyataan, kerana apa yang berlaku sekarang (fitnah rasuah) juga pernah berlaku dalam UMNO, tetapi mereka memilih untuk mengekalkan ketua demi kestabilan dalaman politik dan kepercayaan mereka terhadap Ketua. Dan kewujudan UMNO sehingga hari ini, juga atas dasar penyatuan dan sokongan padu terhadap ketua mereka.
Dan inilah yang seharusnya dilakukan di Sabah. Bukan bermakna Wanita HARAPAN RAKYAT menyokong salah laku rasuah, malah kami juga menolaknya, tetapi biarlah ada keadilan dan siasatan terperinci, bukan percaya lalu menghukum hanya menerusi sebaran suntingan video semata-mata.
Tindakan sayap UMNO Sabah ini dilihat bersifat prejudis kerana lebih menjurus menuduh dan menghukum tanpa keadilan yang jelas.
Selain itu, kenyataan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pengurusan sumber asli Sabah secara menyeluruh juga dilihat sebagai salah satu usaha membenarkan campur tangan pihak luar terhadap pengurusan sumber di Negeri Sabah sendiri. Ia bertentangan dengan kehendak serta keinginan rakyat Sabah itu sendiri yang berkonsepkan ‘Sabah untuk Sabahan’ dan ‘rumah kita, kita yang jaga.’
Wanita UMNO Sabah dan Puteri UMNO Sabah seharusnya sedar bahawa perubahan politik di Sabah dalam beberapa siri PRU dan PRN sebelum ini adalah juga kerana rakyat mahukan Sabah lebih berdikari dan berdiri sendiri khususnya dalam menentukan hala tuju pembangunan Negeri.
Justeru, tindakan mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri oleh kedua-dua sayap UMNO Sabah ini dilihat bakal menggugat usaha menjadikan Sabah lebih berdikari menjadi seperti Sarawak.
Saya juga menyeru semua parti komponen GRS dan rakyat bersatu dan menyekat usaha menjadikan Sabah ini sebagai negeri yang mudah digugat kestabilan politiknya. Kita harus bersatu bagi memastikan Sabah ini kebal daripada tindakan anasir luar yang mahu melihat Sabah terus terkebelakang dan mudah diperguna.-pr/BNN