KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, terus menerima kritikan apabila didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasannya tetapi sibuk bermain politik dengan menyerang kerajaan GRS PH Plus.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Elopura, Datuk Hj. Awang Kadin Tang, menegaskan bahawa Suhaimi perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu rakyat di Libaran seperti infrastruktur yang ketinggalan, pembangunan ekonomi yang perlahan, serta keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik yang tidak stabil.
“Sebagai Ahli Parlimen, Suhaimi seharusnya menggunakan kedudukannya untuk memperjuangkan nasib rakyat Libaran di Parlimen, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan politik tidak berasas untuk menutup kelemahan dalam partinya sendiri,” kata Datuk Hj. Awang Kadin Tang dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut mempersoalkan integriti Suhaimi yang terus mempertahankan pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang terpalit dengan pelbagai kontroversi rasuah dan salah guna kuasa.
Datuk Seri Bung Moktar kini sedang berdepan tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta melibatkan pelaburan Felcra Bhd. Mahkamah telah mengarahkan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, untuk membela diri selepas siasatan mendapati terdapat bukti kukuh berkaitan penerimaan wang rasuah daripada beberapa syarikat pelaburan.
Selain itu, rekod kepimpinan Bung Moktar turut dipersoalkan apabila beliau sering dikaitkan dengan salah guna kuasa semasa mengetuai UMNO Sabah. Kes pemecatan dalaman, pelantikan politik kontroversi, dan sikap tidak mahu berundur walaupun desakan datang daripada ahli partinya sendiri menggambarkan betapa lemahnya etika kepimpinan dalam UMNO Sabah di bawah pimpinannya.
“Bagaimana Suhaimi mahu bercakap tentang integriti sedangkan pemimpin yang beliau sanjung sendiri masih enggan berundur walaupun telah diperintah oleh mahkamah untuk membela diri? Jangan sampai rakyat melihat UMNO Sabah sebagai parti yang hanya tahu bermain sandiwara politik,” tambah Datuk Hj. Awang Kadin Tang.
Beliau menasihatkan Suhaimi agar “jangan sekadar angkat kaki mempertahankan Bung Moktar,” sebaliknya turun padang dan menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan masalah rakyat Libaran yang telah lama menunggu tindakan konkrit daripada seorang wakil rakyat.
“Rakyat Sabah sudah bijak menilai. Mereka mahukan wakil rakyat yang bekerja, bukan sekadar tokoh politik yang hanya pandai bercakap di media,” tegasnya.
Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan peringatan tajam: “Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.”
“Serangan politik tanpa asas tidak akan menyelesaikan masalah rakyat Libaran atau memulihkan imej UMNO Sabah yang semakin merudum,” katanya.-pr/BNN