KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengambil maklum mengenai mesej tular di media sosial pada 10 Januari 2025 dan 24 Januari 2025 yang berkaitan dengan kejadian keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal di Sabah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Maria Suleiman, Pengarah JKNS, sebanyak lima (5) kes keracunan makanan yang mungkin berpunca daripada toksin ikan buntal telah dilaporkan di Sabah pada tahun 2025. Tiga (3) kes dilaporkan di daerah Kota Kinabalu pada 10 Januari 2025, manakala empat (4) kes lain melibatkan sebuah keluarga di daerah Kota Marudu pada 24 Januari 2025.
Kesemua pesakit yang berumur antara 15 hingga 48 tahun melaporkan gejala termasuk pening kepala, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli dari pasar tempatan dan dimasak sendiri.
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa semua pesakit telah mendapatkan rawatan awal di hospital. Dari lima (5) kes yang dilaporkan, tiga (3) kes telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, manakala dua (2) kes masih dalam rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil. JKNS telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan, termasuk memberikan pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta komuniti setempat.
Ikan buntal atau pufferfish adalah spesies ikan yang mengandungi toksin saraf yang dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX). Selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies marin seperti belangkas (horseshoe crab) dan siput laut (Naticidae, Nassariidae), serta haiwan amfibia seperti katak beracun.
Pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar, kerana tiada perubahan dalam warna, bau, dan bentuk makanan yang tercemar.
Mereka yang memakan makanan yang mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan dalam tempoh seawal 10 hingga 45 minit. Tanda-tanda keracunan termasuk kebas pada bibir, lidah, dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit dan muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan. Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh 6 hingga 24 jam.
JKNS menasihati orang ramai untuk mengelakkan pengambilan makanan yang disyaki mengandungi TTX kerana ia boleh membahayakan kesihatan. Sekiranya mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
Bahan pendidikan mengenai bahaya TTX, termasuk risiko keracunan dan langkah-langkah pencegahan, boleh didapati di laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta di laman media sosial Facebook KKM. JKNS akan terus memantau situasi ini dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.-pr/BNN