KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengalu-alukan peruntukan kira-kira RM25
juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki segera infratruktur yang rosak
dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata bantuan segera itu
amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan
terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini, sejak awal minggu ini.
“Sudah pasti bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa- mangsa banjir selain membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir. Kerajaan negeri
juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan
segera ini,” katanya di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan kira-kira
RM25 juta untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat
banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak, ketika berucap pada Majlis
Kenduri Rakyat di Ipoh, pada Jumaat.
Peruntukan ini juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua
keluarga yang terkesan dengan bencana-bencana ini. Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri telah bersiap sedia menghadapi Bencana Monsun Timur dengan seramai 14,209 kekuatan sumber manusia daripada pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan terlibat.
“Antaranya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan lain-lain.
“Manakala jumlah keseluruhan logistik adalah sebanyak 1,456 yang melibatkan logistik
darat, air dan udara. Selain itu, semua Pegawai Daerah yang merupakan Pengerusi
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah dibekukan cuti untuk
menghadapi MTL pada kali ini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas-petugas yang terlibat
dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke lokasi yang lebih selamat
semasa bencana banjir berlaku.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah
melaporkan, setakat jam 12 tengah hari, pada Jumaat, seramai 5725 mangsa, 1939
Ketua Isi Rumah dan 73 kampung terjejas banjir. Sebanyak 10 daerah dan daerah kecil yang terlibat bencana banjir iaitu Beaufort, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kota Belud, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Sandakan dan Pitas.
Bermula daripada 29 Januari 2025 sehingga 12.00 tengahari hari ini sebanyak 39
buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan di seluruh negeri. Namun
demikian, terdapat beberapa PPS juga dijangka akanbditutup pada hari ini setelah
pemeriksaan kawasan dan rumah PenduduknTerjejas Bencana selamat untuk didiami
kembali.-pr/BNN