RANAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kenyataannya sebelum ini mengenai soal mandat daripada rakyat adalah atas
keyakinan bahawa kerajaan pimpinannya akan kembali memerintah selepas Pilihan
Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, tindakan pihak lawan yang memperlekeh kenyataan itu tidak lebih hanya
sebagai mainan kata-kata.
“Ada juga pemimpin cakap kalau kita minta mandat balik kepada rakyat, mereka cakap
macam-macam, bermain dengan kata-kata. Saya pun tidak faham, kita cakap bagus
mereka cakap lain.
“Kalau kita cakap bahawa pencapaian kerajaan hari ini begitu baik dan kita perlu diberi
mandat sekali lagi pada pilihan raya nanti, kita cakap itu kerana kita yakin kita boleh
memerintah Sabah sekali lagi selepas PRN nanti.
“Kita bukan lemah, ada yang cakap kita gagal tetapi kerajaan ini tidak gagal, sebaliknya
yang gagal itu ialah mereka itulah yang disebut pencacai-pencacai itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Jelajah Sayangi Sabah Zon 4
Ranau anjuran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pentas Budaya Pekan Kundasang,
di sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Kundasang, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Negeri
yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Pembantu Menteri
Kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, rakyat tidak boleh tersalah pilih pada pilihan
raya nanti bagi memastikan apa yang pernah berlaku dalam sejarah politik negeri ini
tidak berulang.
“Kita kena belajar sejarah politik kita yang lalu, kita mesti bersatu, jangan ada di Ranau
ini taja-menaja, saya tidak mahu dengar itu, kalau dia dari GRS taja orang, kita tidak
akan terima itu. Saya ingin menegaskan selaku Pengerusi GRS ini tidak boleh berlaku.
“Kita mesti bijak dalam berpolitik, cukuplah kita digaduh-gaduhkkan, dipecah-pecahkan
sebelum ini, jangan kita lepaskan peluang kali ini.
“Banyak parti sekarang melihat perpaduan GRS, kita tunjuk kepada mereka bahawa
GRS adalah pilihan rakyat kita di Sabah. Ini peluang keemasan yang kita tawar kepada
rakyat Sabah,” katanya.
Katanya, PRN17 adalah peluang terbaik untuk menunjukkan bahawa GRS selaku
gabungan parti tempatan adalah pilihan yang tepat untuk rakyat Sabah.
“Kita tonjolkan GRS bukan sembarangan, kita sudah memerintah empat tahun, banyak
kejayaan kita capai apabila kita memerintah Sabah.
“Tetapi, ada di luar sana bercakap macam-macam mengenai GRS, itu kerana mereka
tidak nampak, tidak melihat apa kejayaan GRS.
“Ada lagi pemimpin datang kononnya mahu kasih bagus Sabah, saya tidak tahu dari
mana, tapi apa mereka tahu, datang dari luar ke sini, temberang saja,” katanya.
Mengenai kedudukan GRS di Ranau, Hajiji menyatakan keyakinannya tiga kerusi DUN
di kawasan itu mampu dipertahankan di bawah GRS pada pilihan raya nanti.
“Di Ranau ini ada tiga DUN, saya minta rakyat kita di Ranau, saya cukup kenal juga
budaya masyarakat di Ranau ini, orangnya cukup baik dan saya yakin dalam PRN akan
datang Kundasang, Karanaan dan Paginatan akan kekal menjadi milik GRS,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan pembinaan semula jambatan gantung di
Kampung Lingkudau, di sini, yang rosak akibat arus deras baru-baru ini dengan
peruntukan RM350,000.
Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembesaran Pentas
Terbuka Pekan Kundasang dan RM6 juta lagi untuk pembinaan Dewan Serbaguna
Kundasang.
Sempena majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sejumlah 1,143 geran tanah anak negeri
kepada penduduk kampung daripada DUN Kundasang, Paginatan dan Karanaan
melibatkan jumlah keluasan 4,177.354 ekar.-pr/BNN