KOTA KINABALU: Pempengaruh dan pencipta kandungan digital akan berada di Sabah dalam usaha memperkenalkan negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di dunia.
Usaha itu akan dijayakan menerusi acara HyperLive Impact Influencer Festival & Awards 2025 yang akan diadakan di sini pada 9 Mac 2025 di Magellan Sutera Grand Ballroom.
Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive Entertainment, Dr Sean Wong berkata, program itu akan dijayakan dengan kehadiran pempengaruh terkenal dari Vietnam, Indonesia, Filipina, Singapura dan Malaysia.
Katanya, antara pempengaruh terkenal ialah Miss International 2024, Huynh Thi Thanh Thuy (Vietnam), Miss Intercontinental 2022, Le Nguyen Bao Ngoc (Vietnam), pemenang anugerah penghasilan kandungan digital Adi Syahreza (Indonesia), pelakon dan pengacara terkenal Nick Shen (Singapura), pempengaruh Adelyne Velvet (Singapura), dan pempengaruh tempatan Miss Grand Malaysia 2024 Melisha Lin, Miss Suprantional 2024 Andreana Celly, Miss Globe Malaysia 2024 Lee Min Qi dan pempengaruh esports Noel
“Kesemua mereka akan berkongsikan pengalaman mereka di Sabah kepada pengikut masing-masing di serata dunia,” katanya pada sidang media di The Pacific Sutera Hotel, hari ini.
Hadir sama ialah Miss Globe 2024, Diana Moreno dan Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan.
Sean berkata, festival berkenaan sudah pasti akan memberikan manfaat besar kepada sektor pelancongan di Sabah.
Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew atas komitmen dan sokongan yang diberikan.
“‘Bringing the World to Sabah’…adalah visi yang diilhamkan Christina, visi berkenaan telah memberikan inspirasi kepada saya untuk memperkenalkan Sabah di peringkat antarabangsa.
“Lebih daripada 20 pempengaruh terkenal akan berada di negeri ini sempena dengan festival berkenaan.
“Saya berharap pelbagai pihak khususnya sektor swasta dan kerajaan akan memberikan sokongan kepada program tersebut untuk membawa Sabah di pentas dunia,” katanya.
Selain itu katanya, festival itu akan dimeriahkan lagi dengan The Life Champion Concert yang juga akan mengetengahkan pemain piano autisme dari dalam dan luar negara.
Dr. Sean berkata, mereka terdiri daripada Clarence Kang (Malaysia), Takuto Koyanagi (Japan), Zhou Bohan (China) dan Chen Kuan Wen (Taiwan),” katanya.-pr/BNN