KOTA KINABALU: Saya Aksyah Nasrah, mantan timbalan badan perhubungan negeri BERSATU Perikatan Nasional (PN) Sabah, ingin mengulas sedikit dakwaan Ketua UMNO Sabah bahawa Kerajaan GRS-PH Plus adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bukan hanya beliau, malah pemimpin dan ahli-ahli Parti Warisan juga menimbulkan persepsi “Kerajaan Gagal” ini untuk dipercayai oleh rakyat Sabah. Pada saya, Kerajaan GRS adalah sebuah kerajaan yang berjaya membangun Sabah dan rakyatnya. Saya percaya dengan berpaksikan kepada Halatuju Sabah Maju Jaya yang digagaskan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri, impian untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur dan sejahtera mampu dicapai.
Tidak boleh dinafikan bahawa Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri telah berjaya membawa Sabah ke satu tahap yang tinggi dari segi erti kejayaan merangkumi konsep pembangunan sebenar. Beliau jelas menunjukkan satu bentuk politik dan kepimpinan yang berwawasan untuk negeri dan rakyat Sabah dengan menggunakan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Mari kita telusuri kronologi kejayaan pimpinan Hajiji di bawah GRS-Plus. Bayangkan, beliau mengambil alih Sabah dalam keadaan daif dari segi ekonomi (Negatif 9.5%) dan fizikal, dengan banyak projek yang tergendala akibat konsesi yang diberhentikan dan dibatalkan. Namun, dengan pendekatan yang bijaksana dan berhemah, YAB DSP Hajiji hanya dalam tempoh setahun, telah menunjukkan perkembangan positif, di mana prestasi ekonomi mula melonjak ke tahap prestasi positif 1.5%.
Untuk menentukan kayu ukur kejayaan sesebuah kerajaan seperti GRS, kita perlu melihat konsep kejayaan itu sendiri. Secara ringkas, berjaya bermakna mencapai perubahan dan pencapaian baik dari satu keadaan ke keadaan lain. Dalam konteks Kerajaan GRS-PH Plus, kita perlu menilai adakah kerajaan ini memenuhi konsep kejayaan. Hakikatnya, ukuran utama kejayaan sebuah kerajaan adalah berlakunya pencapaian positif dalam segi prestasi ekonomi, pengurusan kewangan, peningkatan hasil, dan kegiatan ekonomi di dalamnya. Ukuran ini penting kerana ia akan menentukan tahap kemakmuran rakyat di kawasan tersebut.
Ekonomi yang berkembang seterusnya akan memberikan hasil negeri yang lebih banyak. Hasil ini boleh digunakan untuk membangunkan sektor-sektor lain yang melibatkan sosial, pembangunan infrastruktur dan sebagainya. Semua usaha ini sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan GRS yang memulangkan hasil kepada rakyat untuk dinikmati. Contohnya, program Rumah Sejahtera SMJ, BUDI, SYUKUR, SENTOSA dan pelbagai program lain telah dilaksanakan demi mencapai Halatuju SMJ yang telah digariskan.
Ukuran kejayaan kedua ialah perkembangan infrastruktur. Dalam hal ini, Kerajaan GRS melaksanakan tanggungjawab ini untuk memastikan kualiti dan kapasiti infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya. Namun, perkembangan ini mungkin membawa kesan sementara, terutama dengan gangguan bekalan air dan elektrik. Ini merupakan perkara biasa dalam proses pembangunan, dan projek-projek pembangunan juga memerlukan proses dan masa yang panjang. Oleh itu, rakyat diharapkan supaya lebih bersabar dan dapat mengatur kehidupan masing-masing sesuai dengan arahan dan perkembangan semasa dari agensi kerajaan yang terlibat.
Saya yakin, rakyat yang matang dan faham akan keadaan ini. Sekiranya rakyat bercadang untuk menukar kerajaan, kesan sementara seperti gangguan ini tetap akan berlaku. Mana-mana kerajaan pun tidak akan dapat menyelesaikan projek-projek yang melibatkan infrastruktur asas ini dalam tempoh yang singkat seperti yang digambarkan oleh pihak pembangkang. Selain itu, adalah tidak adil untuk meletakkan semua kekurangan ini kepada Kerajaan GRS sehingga menggelarnya sebagai Kerajaan Gagal. Kita semua maklum bahawa keadaan fizikal setiap fasiliti asas yang ada di Sabah kini sudah berada dalam keadaan usang, dan inilah yang diwarisi oleh Kerajaan GRS.
Projek-projek pembangunan sedang giat dilaksanakan. Dengan terlaksananya projek-projek tersebut, kita sebenarnya sudah dapat menganggap ini sebagai sebuah kejayaan. Pendek kata, Kerajaan GRS adalah sebuah kerajaan yang berjaya, sesuai dengan slogannya, Sabah Maju Jaya. Perancangan dan perlaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan, baik yang bersifat fizikal mahupun bukan fizikal, menjadikan Kerajaan GRS sebagai sebuah kerajaan yang berjaya.
Setakat hari ini, belum ada satu pun perancangan yang disusun di dalam Halatuju SMJ gagal dijalankan. Ini bermakna, Kerajaan GRS-PH Plus adalah sebuah pemerintahan yang mengotakan janjinya. Persoalannya, adakah rakyat mahu menenggelamkan sebuah bahtera yang membawa kita ke destinasi yang jelas makmur, dipandu oleh visi yang digagaskan oleh YAB DSP Hajiji iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya? Corak kepimpinan beliau yang berwawasan tidak pernah berlaku dengan mana-mana pemimpin sebelum ini. Beliau tidak banyak bercakap tetapi komited menjalankan tanggungjawab kerajaan yang beliau bentuk menerusi gabungan pemimpin dan rakyat, yakni GRS.
Saya percaya bahawa Hajiji tidak mempunyai niat lain selain daripada ingin melihat Sabah diurus tadbir oleh parti tempatan, mengikut acuan dan aspirasi rakyat Sabah. Sementara kehadiran PH Plus pula menjadi pemangkin dan jambatan penting antara negeri dan Kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Kerajaan Perpaduan/Madani. Hubungan baik ini perlu dipelihara untuk memastikan perjuangan MA63 dapat direalisasikan demi rakyat Sabah.
Oleh itu, besarlah harapan kita agar rakyat tidak mudah ditipu dengan persepsi buruk yang boleh mengakibatkan pertimbangan yang berlandaskan emosi sesat dan akhirnya memusnahkan masa depan kita dan generasi Sabah yang akan datang. Rakyat mesti rasional dan mengekalkan Kerajaan GRS-PH Plus demi kelangsungan program dan projek yang dirangka melalui Halatuju Sabah Maju Jaya!-pr/BNN