KOTA KINABALU: Melahirkan mahasiswa yang mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik menjadi tumpuan kempen gaya hidup sihat yang akan bermula pada penghujung bulan ini di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah. Kempen yang berdasarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar FSSK agar mendapatkan senaman yang mencukupi, mengambil lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari, serta mengamalkan pengambilan makanan yang ditetapkan dalam Pinggan Sihat Malaysia.
Satu kajian awal dalam kalangan mahasiswa telah dijalankan pada bulan Mac untuk memahami amalan gaya hidup mereka dalam aspek aktiviti fizikal, pemakanan, pengambilan air, tidur, dan amalan berisiko seperti merokok, vape, serta meminum alkohol. Kempen gaya hidup sihat di FSSK UMS dicadangkan oleh Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kepada Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF. Unit Penyelidikan tersebut menggunakan pendekatan kajian berasaskan bukti dan intervensi komunikasi untuk mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih positif.
Dekan FSSK UMS, Profesor Dr. Asmady Idris, menyatakan bahawa pendekatan “keseluruhan negara” atau whole of nation yang ditetapkan oleh ANMS perlu diberikan sokongan oleh semua pihak. Menurutnya, “Kita berhadapan dengan krisis penyakit tidak berjangkit di Malaysia, termasuk isu berlebihan berat badan. Saya berharap kempen yang akan dijalankan di fakulti ini dapat menjadi titik tolak kepada satu kempen versi UMS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah supaya ia dapat diperluas lagi,” katanya ketika menghadiri sesi taklimat mengenai kempen gaya hidup sihat tersebut.
Ketua Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF, Dr. Latif Lai, berkata bahawa kajian awal yang melibatkan 360 mahasiswa telah menilai aspek pengetahuan, sikap, dan amalan berkaitan gaya hidup sihat. Walaupun secara umum, responden memberikan jawapan positif untuk kebanyakan soalan, hasil kajian menunjukkan masih terdapat aspek gaya hidup sihat yang perlu diberi penekanan dari segi pengetahuan dan amalan.
“Kajian mendapati 70 peratus responden tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang jumlah senaman sederhana yang diperlukan dalam seminggu, dan 77 peratus tidak mengamalkan aktiviti fizikal mengikut jumlah masa yang disarankan. Selain itu, enam dalam sepuluh responden tidak mengikut saranan Pinggan Sihat Malaysia, dan 90 peratus responden tidak mempunyai pengetahuan yang sebenarnya tentang jumlah hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan yang perlu mereka ambil dalam sehari,” jelasnya.
Kempen yang akan dijalankan selama enam bulan ini juga akan menilai pengetahuan tentang jumlah alkohol yang boleh diambil dalam seminggu oleh lelaki dan perempuan. Indikator ini akan tertumpu pada pengetahuan dan tidak akan menyentuh aspek sikap dan amalan. Latif menambah bahawa beberapa aktiviti bersemuka dan melalui media sosial telah dikenalpasti untuk menjayakan kempen tersebut, yang akan dikenali sebagai FSSK x ANMS.
Sesi taklimat tersebut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Razmin Ramli, Ketua Cawangan Promosi Kesihatan JKNS, Nor Saadah Omar, Ketua Cawangan Pemakanan JKNS, Shahrulnaz Norhazli Nazri, dan Pakar Program UNICEF untuk negeri Sabah, Dr. Elaine Kong. Selain itu, sesi tersebut turut dihadiri oleh pengurusan kanan FSSK, ketua-ketua program, felo unit penyelidikan, dan ketua-ketua pelajar.-pr/BNN