KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR)) di Sabah telah meletakkan negeri ini di peta dunia bersama 27 negara lain di bawah Program FOLUR global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, melalui kerjasama dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF), Projek FOLUR melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan kira-kira 2.38 juta hektar, iaitu 12 daerah di Sabah, dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 54,000 orang penduduk kawasan luar bandar.

Beliau berkata, Projek FOLUR amat signifikan dalam usaha Sabah untuk menyeimbangkan keperluan pembangunan pertanian dengan pemuliharaan alam sekitar serta sedang melangkah ke arah sistem makanan yang lebih mampan, cekap dan inklusif. “Projek ini menyokong amalan pertanian lestari, khususnya dalam sektor kelapa sawit, di samping memulihara kawasan hutan yang telah terjejas. Ini membolehkan kita mengurangkan tekanan terhadap ekosistem hutan dan pada masa sama menjamin bekalan makanan dan sumber pendapatan rakyat Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoon Jin Zhe.

Hajiji berkata, dalam jangka masa panjang, inisiatif itu akan menyokong matlamat iklim memandangkan hutan penting dalam memerangi perubahan iklim melalui penyerapan karbon. FOLUR akan menyumbang kepada komitmen Sabah terhadap perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG)) khususnya SDG 15: “Life on Land”.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan (Statewide Forest Master Plan) yang akan menyediakan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan hutan di seluruh Sabah. Beliau berkata melalui pelan ini, semua Kawasan Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive Area) tetap akan dilindungi, di samping meneruskan pembangunan sosio-ekonomi yang mensejahterakan rakyat Sabah. Ini selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021-2025) yang mengambil kira keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau.

Hajiji berkata, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang ditubuhkan Kerajaan Negeri merupakan penasihat yang berperanan sebagai platform perundingan dan penyelarasan dasar berkaitan perubahan iklim, dengan beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan, iaitu menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat Sabah.

Katanya, memandangkan sektor perhutanan memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim, Unit Perubahan Iklim dan Gas Rumah Hijau (GHG) telah ditubuhkan di Jabatan Perhutanan Sabah. “Melalui SCAC, Sabah memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam tadbir urus alam sekitar yang progresif dan berpaksikan kelestarian”, katanya.

Beliau berkata, Kajian Kesan, Keterdedahan dan Penyesuaian Perubahan Iklim di Sabah telah dijalankan pada tahun 2024, yang akan dijadikan sebagai rujukan untuk menggubal Dasar Perubahan Iklim Sabah, agar selari dengan perkembangan tindakan iklim di peringkat nasional. Menurutnya, Sabah sebagai negeri dengan kadar pelepasan karbon rendah, boleh memanfaatkan status ini untuk menceburi ekonomi karbon rendah kerana negeri ini dapat membangun dengan keperluan tenaga dan sumber yang minima dalam mengurangkan impak terhadap perubahan iklim.

Hajiji berkata, Sabah juga sedang dalam proses memuktamadkan Dasar Perubahan Iklim Negeri yang berkonsepkan tadbir urus yang baik, peralihan saksama, berdaya tahan dan pertumbuhan ekonomi mampan selari dengan Dasar Perubahan Iklim Malaysia 2.0. “Selaras dengan pembangunan dasar ini, Sabah akan menggubal Enakmen Perubahan Iklim agar selari dengan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), yang kini sedang dimuktamadkan di peringkat nasional”, tegasnya.

Menyentuh pindaan Enakmen Hutan baru-baru ini, beliau berkata aktiviti karbon berasaskan hutan (Forest Carbon Activity) akan dikawal selia mengikut terma dan syarat tertentu, serta sebarang dana dan pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti kredit karbon hutan akan disalurkan terus kepada negeri. Katanya, perkara ini penting bagi menyokong usaha Kerajaan Sabah dalam mencapai keseimbangan dan kemampanan pembangunan sosio-ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar pada masa hadapan.

Hajiji menegaskan, aktiviti-aktiviti berkaitan dengan perubahan iklim di Sabah termasuk pasaran karbon, mestilah didaftarkan, dipantau, dianalisa dan dilaporkan kepada SCAC selaku focal point agenda perubahan iklim bagi Sabah, bagi membolehkan pemakluman kepada kerajaan negeri dan penyertaan yang saksama oleh Sabah.-pr/BNN