TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden
Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu jentera penerangan Gagasan
Rakyat termasuk di peringkat bahagian dan cawangan untuk terus memerangi
pembohongan dan fitnah yang dibawa oleh pembangkang, terutama menjelang Pilihan
Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, dua lagi cabaran ialah pentingnya jentera penerangan dan semua pimpinan
parti untuk menguasai dunia maya atau media sosial; dan terus meraih sokongan rakyat
kepada Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Jentera penerangan khususnya mempunyai tanggungjawab besar untuk menangani
cabaran-cabaran ini. Kita bukan saja perlu memerangi pembohongan dan fitnah
pembangkang tetapi juga perlu menguasai dunia maya atau media sosial.

“Dalam memerangi dakyah pembangkang, adalah penting untuk kita menguasai dunia
maya atau teknologi masa kini menerusi media-media sosial. Ini bagi memastikan kita
menjadi satu jentera pantas bukan saja untuk memerangi pembohongan pembangkang tetapi yang penting adalah menyebarluaskan segala insiatif bantuan serta kejayaan-
kejayaan yang dicapai kerajaan GRS- PH Plus.

“Tahun ini adalah tahun pilihanraya, oleh itu jentera parti khususnya jentera penerangan
harus bekerja keras untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada
rakyat..inshaAllah GRS akan diberi mandat sekali lagi oleh rakyat pada PRN akan
datang,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penerangan & Pelancaran Jentera
Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah ‘Gasak 17 ’ di Dewan Pusat Kebudayaan
Persatuan Rumpun Bajausama di Tuaran, di sini

Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk semua pimpinan parti termasuk jentera
penerangan dan jentera pilihan raya di semua peringkat bekerja keras sepenuhnya
untuk memastikan penjelasan diberikan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Ini penting kerana banyak inisiatif dibawa oleh kerajaan GRS, sebahagian besarnya
tidak pernah dibuat oleh kerajaan-kerajaan lalu apa lagi oleh kerajaan Warisan yang
hanya pandai berbohong dan membuat fitnah.

“Insiatif bantuan dalam pendidikan, kesejahteraan rakyat seperti bantuan rumah mesra
Sabah Maju Jaya dan Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah atau SYUKUR, kejayaan membawa pelabur asing hingga dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan, perlu diperjelaskan serta disebarluaskan kepada rakyat. Inilah
yang telah dilaksanakan kerajaan GRS dalam tempoh lebih empat tahun,” katanya.

Katanya, tanggungjawab sebagai jentera penerangan amat mencabar dalam menangani setiap pembohongan dan fitnah daripada pembangkang.

“Ini kerana sudah menjadi tugas pembangkang untuk terus menabur fitnah dan
membuat pembohongan. Justeru, kita kena lawan dengan apa yang kita sudah buat
selama memerintah.

“Walaupun rakyat tahu menilai namun tugas kita khususnya jentera penerangan adalah
terus memberi penjelasan, lawan pembangkang kerana mereka akan terus membuat
pembohongan.

“Ini kerana pembangkang rasa kecewa sebab Gagasan Rakyat dan GRS terus diterima
rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya sambil menambah bahawa Gagasan
Rakyat dan GRS akan terus membela nasib rakyat hingga ke peringkat akar umbi.
Justeru, beliau mahu semua jentera parti, jentera pilihan raya dan penerangan di
peringlat bahagian serta cawangan terus diperkemaskan dan diperkuatkan untun
menghadapi PRN.

“Saya juga mahu siapa juga calon dipilih, kita kena sokong. Jangan sesekali ada unsur
sabotaj. Dalam masa sama, kita mahu kestabilan politik,” katanya.

Terdahulu, Hajiji telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah
(PBS) di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.-pr/BNN