SANDAKAN: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok, Sandakan, Sabah untuk menilai prestasi perkhidmatan rangkaian mudah alih dan kualiti Internet sedia ada.
Pengujian ini telah dijalankan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah yang
berada di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, manakala Rainforest Discovery
Centre pula diseliakan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
Program ini melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) iaitu
CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
Hasil ujian mendapati, liputan di kawasan ini adalah memuaskan khasnya lokasi
tumpuan utama pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Rainforest
Discovery Centre, Sepilok. Namun, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai
liputan lemah seperti lokasi kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre.
Sehubungan dengan itu, telco yang terlibat telah diminta untuk mengambil tindakan
segera sebagai langkah persediaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Turut diadakan sesi libat urus bagi mengenal pasti kerjasama antara pusat pelancongan utama di bawah kelolaan kerajaan negeri Sabah dengan Kementerian Komunikasi dalam usaha menjadikan industri pelancongan berkembang pesat dengan bantuan capaian komunikasi dan Internet yang lebih baik.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Tuan Haji Bukhari Yahya.-pr/BNN