SOOK: Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus
bukan hanya merancang malah telah melaksanakan banyak inisiatif pembangunan dalam
aspek ekonomi juga untuk kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima
Haji Hajiji Haji Noor.
Justeru katanya, dakwaan oleh pembangkang kononnya kerajaan GRS-PH Plus tidak
membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul. Itu adalah dakyah
mereka yang sentiasa mahu menafikan setiap kejayaan yang dibawa oleh kerajaan.
“Namun kita tidak berdiam diri, sebaliknya terus bekerja untuk pembangunan negeri dan
rakyat. Pelbagai inisiatif bantuan diberi kepada rakyat khususnya kepada anak-anak dalam
kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi
(IPT).
“Antara bantuan itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas
Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) selain bantuan subsidi tiket
penerbangan pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar yang belajar
di Semenanjung dan Sarawak serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam
Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300.
“Ini adalah sebahagian daripada kira-kira 13 inisiatif dalam Bantuan Pendidikan Kerajaan
Negeri kepada para pelajar yang layak di negeri ini”, katanya pada Majlis Pelancaran Naik
Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, Keningau pada
Isnin.
Hajiji berkata, inisiatif lain yang turut diberi kepada rakyat kurang berkemampuan pada
tahun ini termasuklah pembinaan sebanyak 3000 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos sebanyak RM250 juta.
Katanya, bantuan terbaharu yang diberikan kerajaan negeri mulai tahun ini ialah Program
Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000
penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar layak
menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun.
Menyentuh isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang sering dijadikan bahan oleh
pembangkang, beliau berkata, kerajaan menerima masalah yang diwarisi, namun sentiasa
berusaha untuk menangani dan menyelesaikan masalah berkenaan.
Justeru katanya, sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan
sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di
negeri ini mencukupi, antara projek tu ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Pembinaan
Loji Rawatan Air Kundasang, Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna, Skim Bekalan
Air di Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.
“Sementara itu, projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di
Papar, melibatkan kerja-kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 juta liter sehari (JLH)
kepada 80 JLH, yang dijangka siap pada 2026”, katanya.
Mengenai masalah bekalan elektrik, Hajiji berkata, pelbagai usaha dibuat termasuk
melaksanakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menjana tenaga elektrik sebanyak
187.5 megawatt (MW) dan Majlis Tenaga Sabah juga telah meluluskan hampir 1,000
megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan
elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.
“Projek berkenaan bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini”,
tambahnya.
Hajiji berkata, lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa ke negeri ini dan baru-baru ini
beliau dimaklumkan bahawa sebanyak 4 daripada 16 pakej Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan
Borneo Sabah telah disiapkan, dan baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan, dengan
status kemajuan sebanyak 81.7 peratus siap.
“Semua ini adalah antara inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang kita laksanakan. Apa yang
kita bawa ini tidak pernah dibuat sebelum ini. Lebih banyak lagi pembangunan yang akan
dibawa ke negeri ini untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jika kita diberi mandat
lagi”, tegasnya.
Hajiji berkata, bagi daerah Sook beberapa projek pembangunan kini giat dijalankan termasuklah dua projek pembinaan jalan raya berturap iaitu Jalan Sinaron, Sook
ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40km serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook
sepanjang 22.85km yang masing-masing bernilai RM 320 juta dan RM 127 juta yang kini
sedang dalam pelaksanaan.
Beliau berkata, dengan adanya jalan berturap ini, ia akan menjimatkan masa dan kos
perjalanan selain mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan.
Menyentuh aspek pembanguna pendidikan, katanya sebanyak 4 buah sekolah juga kini
dalam pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon,
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit serta SMK Trusmadi yang hampir siap
sepenuhnya.
Manakala, projek menaiktaraf klinik kesihatan serta projek Pembinaan Pencawang
Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity sudah siap pada tahun lalu.
Ini membabitkan Klinik Kesihatan Sook yang bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa
Karamatoi dan Klinik Desa Marapok yang masing-masing bernilai RM600,000.
“Manakala, seramai 120 penduduk telah menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari tahun
2022 sehingga tahun 2024 yang bernilai hampir RM9.6 juta di Sook. Pada tahun 2025 ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 80 buah rumah SMJ bagi Sook”, katanya.
Hajiji berkata, banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sook pada masa akan datang
yang akan memberi manfaat kepada rakyat di daerah ini seperti pembinaan kompleks
sukan, hospital daerah Sook, membina balai polis daerah dan menambah keluasan
kawasan klinik kesihatan Sook.
“Setiap pembangunan yang dibawa adalah lambang kesungguhan kerajaan negeri hari ini
untuk membela nasib rakyat dan membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih maju,
tersusun dan saksama”, tegasnya.
Sempena majlis itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina
Dewan Terbuka Daerah Sook dan menaiktaraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.-pr/BNN