KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada
2023 kepada RM83.2 bilion pada 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji
Hajiji Haji Noor.
“Ini menunjukkan momentum peningkatan berterusan dan perkembangan positif di
Sabah,” katanya, sambil menambah ini selari dengan KDNK nasional yang dijangka
meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani yang melihat
penyusunan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan Nasional 2025.
Mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) di Menara
Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata pencapaian ini adalah hasil kerjasama dari
pelbagai pihak di negeri ini.
“Jika kita terus menyumbang tenaga kita secara positif melalui kerjasama yang erat,
tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita dengan
jayanya,” katanya.
Beliau menggesa agensi-agensi berkaitan untuk memastikan semua inisiatif dan
program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelan pembangunan Hala
Tuju Sabah Maju Jaya dilaksanakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan
meningkatkan kehidupan rakyat.
Ketua Menteri berkata dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan Negeri
telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai satu langkah proaktif
untuk mamacu ekonomi dan pembangunan negeri Sabah bermula dari 2026 hingga
2030.
“Ia juga merupakan kerangka awal yang mengambil kira keperluan Dasar, Blueprint dan
Pelan Pembangunan semasa. Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi
penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah
RMK13,” katanya.
Walaupun terdapat pelbagai kejayaan melalui inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka positif
dari semua data yang dikeluarkan setakat ini, Hajiji berkata Kerajaan Negeri tidak boleh
berehat dan menjadi selesa.
“Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua jabatan dan ketua peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.
“Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh,” katanya, sambil menambah bahawa tahun ini 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah.
“Semua agensi pelaksana mesti sentiasa memantau kemajuan projek-projek ini dan
memastikan ia diselesaikan mengikut jadual,” katanya.
Menurutnya, Sabah adalah antara penerima tertinggi dalam bajet nasional, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini.
“Ini membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat
persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk
meningkatkan pembangunan negeri,” katanya.
“Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua
rancangan kita. Kita perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap yang
memberi tumpuan kepada negatif tanpa menilai atau mengiktiraf kejayaan atau
sumbangan yang dibuat kepada negeri,” katanya.-pr/BNN