KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) memandang serius cubaan pihak tertentu memanipulasi operasi syarikat ini sebagai bahan polemik dengan memberi gambaran negatif terhadap warga syarikat dan kerajaan Sabah secara umumnya.
Datuk Mohd Arsad Bistari, Pengerusi Sabah Softwoods Berhad (SSB) dalam satu kenyataan berkata hantaran sebuah halaman Facebook berkenaan eksport kayu eucalyptus oleh SSB ke luar negara telah mewujudkan persepsi dan komen negatif orang awam yang tersasar jauh daripada realiti dan fakta sebenar.
Eksport kayu eucalyptus oleh syarikat ini mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Malaysia serta tertakluk kepada pemantauan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam, katanya.
“Sebagai salah satu anak syarikat Yayasan Sabah yang memfokuskan pembangunan industri perkayuan di peringkat huluan (upstream), operasi SSB diiktiraf oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC), sebuah organisasi antarabangsa yang bertanggungjawab menetapkan piawaian pengurusan hutan di seluruh dunia.”
Pensijilan FSC menyediakan kerangka tadbir urus yang memastikan ladang perkayuan SSB diurus secara bertanggungjawab untuk mencegah pembalakan haram dan penyahutanan, sekaligus meningkatkan kredibiliti pengurusan ladang perkayuan yang beretika dan mampan, katanya
“Selain pensijilan FSC, operasi eksport kayu kayan SSB turut diperakui oleh Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS), yang memastikan kayu tersebut berasal dari ladang perkayuan yang diurus secara bertanggungjawab dan dapat dijejak melalui rantaian bekalan yang disahkan, serta memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan undang-undang antarabangsa.”
Pensijilan TLAS adalah satu sistem usaha wajar (due diligence) yang memastikan produk kayu yang berasal dari Sabah dituai, diproses dan diperdagangkan mengikut undang-undang dan peraturan serta piawaian antarabangsa termasuk peraturan eksport.
Sebagai rekod, peranan signifikan SSB dalam industri perkayuan di Sabah turut diperakui oleh mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sewaktu mempengerusikan SSB melalui pengecualian syarikat ini daripada larangan eksport balak tropika yang dikuatkuasakan pada tahun 2018, (Rujukan: JPHTN/KKH/900-2/4/1/35, 06/08/2018).
Sebagai sebuah anak syarikat yang ditubuhkan sejak 52 tahun lalu, SSB sentiasa komited menjalankan fungsinya secara profesional sebagai peneraju utama industri huluan kayu kayan di Sabah yang selama ini telah memberi manfaat kepada anak-anak Sabah melalui institusi Yayasan Sabah. -pr/BNN