KIULU: Sektor pelancongan di Sabah terus mencatat pencapaian memberangsangkan
dengan sumbangan ketara daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT),
terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini, seperti Kiulu, kata Ketua Menteri, Datuk
Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju
Jaya (SMJ), dan Kiulu muncul sebagai salah satu perintis utama dalam pembangunan
CoBT.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan hasil negeri daripada CoBT meningkat kepada RM7
juta pada tahun 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun 2023 daripada 18 daerah aktif.

“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan
dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini”, katanya pada perasmian
Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu
pada Selasa.

Hajiji berkata, Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama tahun
2025, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.

“Saya yakin sasaran ini bukan sahaja mampu dicapai, tetapi juga berpotensi untuk
melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat
berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar
dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan
pertanian.

Katanya, infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat
tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik.

Hajiji menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh
pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin
utama kepada ekonomi Sabah.

“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan
kesejahteraan negeri ini”, tegasnya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di negeri ini yang
menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta
satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.

Katanya, tiga lagi CoBT ialah Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan
Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon,
Kadamaian Kota Belud.

Menurutnya, kolaborasi ini dijangka membawa manfaat besar dalam pemindahan ilmu
dan pemerkasaan komuniti pelancongan setempat.

“Daerah Kecil Kiulu seharusnya memanfaatkan sepenuhnya potensinya dalam
pelancongan dan pertanian sebagai pemangkin ekonomi kerana daerah ini mempunyai
antara pengendali CoBT di negeri ini”, katanya.

Hajiji berkata, Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti akan dianjurkan buat
pertama kali oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)
dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah pada bulan Jun ini di Kota Kinabalu,
sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah.

Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan
beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

Antaranya pembinaan tempat letak kereta Pekan Kiulu, pembinaan jalanraya ke Kampung Kitapol dan projek bekalan air graviti Kampung Lopot.

“Kiulu mesti dibangunkan dan aspirasi rakyat yang mahukan pembangunan berterusan
dan kesejahteraan mereka mesti kita bela dan bantu”, katanya.

Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu kini dinamakan sebagai Dewan
Masyarakat OKK Rampas.-pr/BNN