TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini menegaskan
kepentingan peranan aktif dan berintegriti Ahli Majlis Daerah (AMD) dalam menyokong
pelaksanaan dasar pembangunan negeri.

Beliau menekankan bahawa AMD bukan sekadar penyambung suara rakyat, tetapi juga
perlu menjadi agen pelaksanaan yang berkesan kepada inisiatif kerajaan, khususnya
Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“AMD perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Lengkap
dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.

“Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyampaikan
bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus,” katanya
pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis
Daerah Tuaran Tahun 2025–2027 di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort dekat
sini.

Katanya, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada
komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD. AMD
perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam menyebarluaskan maklumat
dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.

Hajiji turut menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan
dilaksanakan di daerah Tuaran, termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya,
bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan
tempatan.

“Sebesar mana pun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa
penyampaian yang cekap. Ahli Majlis perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat
dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus,” katanya.

Beliau turut menyeru semua AMD supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara
rakyat dan kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran dan memastikan
setiap dasar dan program kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat.

Menurutnya, pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang
termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Katanya, kepelbagaian ini diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan
menangani keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, AMD mampu
menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran,” katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid
Jahim, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin
Aliasnih, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk
Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau
dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.-pr/BNN