KOTA KINABALU: Mengambil maklum penularan mesej yang mendakwa pembabitan Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dalam skandal rasuah melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (WP35) dipercayai disebarkan menerusi satu saluran telegram.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, “Mesej berkenaan mengandungi tuduhan secara langsung terhadap saya sebagai Menteri Kerja Raya Malaysia, dengan dakwaan yang bersifat fitnah, tidak berasas dan berniat jahat. Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut.”
“Sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjunjung amanah serta komited menjaga kepentingan rakyat dan negara, tuduhan ini bukan sahaja menjatuhkan imej dan integriti saya, malah turut mencemar reputasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Malaysia secara keseluruhan.”
“Lebih membimbangkan, mesej tersebut bukan sahaja tersebar di Telegram, tetapi turut dikongsikan di pelbagai platform media sosial, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dan prasangka dalam kalangan masyarakat.”
“Sehubungan itu, saya melalui Setiausaha Sulit Kanan saya, telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun H.S. Lee semalam bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini serta meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini dengan segera.”
“Saya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini.”
“Saya ingin menegaskan bahawa fitnah tidak boleh menjadi alat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana individu, lebih-lebih lagi demi kepentingan politik atau agenda peribadi.”-pr/BNN